
METEOROLOGI Malaysia (MetMalaysia) sebelum ini mengeluarkan amaran Monsun Timur Laut (MTL) atau musim tengkujuh akan bermula lebih awal pada tahun ini dan akan berterusan sehingga Mac 2023.
Selain itu, amaran ini juga menjelaskan empat hingga enam episod luruan monsun akan membawa hujan lebat berterusan dijangka berlaku sepanjang tempoh itu.
Seperti musim-musim lalu, hujan lebat berterusan untuk tempoh beberapa hari boleh mengakibatkan kejadian banjir di kawasan berkedudukan rendah dan berhampiran sungai.
Sekiranya hujan lebat berterusan berlaku serentak dengan kejadian air pasang besar, risiko kejadian banjir boleh meningkat.
Jelas MetMalaysia, semasa MTL, tiupan angin timur laut secara berterusan dan kencang boleh menyebabkan laut bergelora serta ombak besar di perairan Laut China Selatan.
Justeru, orang ramai dinasihatkan agar bersiap sedia menghadapi musim tengkujuh serta sentiasa peka dengan maklumat, nasihat dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh MetMalaysia.
Sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang lalu seorang pakar dari Universiti Putra Malaysia (UPM) Haliza Abdul Rahman menjangkakan banjir semasa musim tengkujuh akhir tahun ini dijangka lebih buruk berbanding tahun lalu.
Ini berdasarkan trend banjir yang berlaku pada tahun-tahun sebelum ini di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Sabah dan Sarawak antara November dengan Januari.
Ia juga selaras dengan ramalan MetMalaysia yang meramalkan bahawa hujan lebat akan berlaku di Kelantan, Terengganu dan Pahang dari November hingga Disember manakala Johor, Sabah dan Sarawak dari Disember 2022 hingga Januari 2023.
Tetapi kita bersyukur kerana pada PRU-15 lalu, keadaan banjir di negara terutamanya di Sarawak terkawal.
Hanya beberapa bahagian iaitu di Limbang dan Baram yang mengalami banjir teruk sehingga proses pengundian terpaksa dilakukan pada hari lain.
Sekitar beberapa tahun yang lalu, kita telah menyaksikan beberapa kes banjir yang meragut nyawa rakyat.
Pada 2021, Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan 46 kematian akibat bencana banjir yang melanda negara. Jumlah korban paling ramai akibat banjir ialah di Selangor dan Pahang pada Disember 2021 seramai 33 nyawa.
Selangor mencatatkan angka kematian tertinggi iaitu 24 mangsa manakala sembilan lagi mangsa korban banjir ditemukan di Pahang.
Selain itu, banjir semasa musim cuti sekolah juga perlu diberikan perhatian kerana sekarang bukan hanya Covid-19 yang membahayakan nyawa tetapi keadaan banjir yang semakin membimbangkan juga harus difikirkan.
Di sebalik kegembiraan pada cuti sekolah, banyak perkara penting yang perlu diambil kira terutama dari segi pelajaran dan keselamatan anak-anak.
Cuti persekolahan bukan tiket bagi seseorang murid melupakan ilmu dan menggunakan sepenuhnya masa dengan bermain seperti bermain telefon dan air sungai.
Selain perlu bijak memanfaatkan cuti sekolah dengan perkara berfaedah, keselamatan juga perlu diutamakan bagi mengelak perkara yang tidak diingini berlaku seperti kes lemas, jatuh, kemalangan dan sebagainya.
Murid bertanggungjawab untuk menimba sebanyak mungkin ilmu walaupun sedang bercuti. Rutin seperti hari persekolahan perlu diteruskan seperti bangun awal, mengulang kaji pelajaran dan menyiapkan kerja rumah yang diberikan guru.
Cuti waktu terbaik untuk mengulang kaji dan melihat balik apa-apa yang diajar oleh guru.
Dalam pada masa yang sama, ibu bapa perlu memainkan peranan untuk mendidik anak-anak supaya menjaga keselamatan dan memantau aktiviti anak-anak.
Jika boleh, jangan biarkan anak-anak bermain semasa banjir dan mandi di sungai tanpa pengawasan orang dewasa.
Kita semua harus berwaspada semasa musim tengkujuh ini supaya dapat bercuti dengan aman dan selesa.
Sebelum melangkah ke tahun 2023, kita perlu mempunyai azam untuk hidup dalam keadaan aman dan sempurna.