Waspada bahaya kebakaran rumah panjang

SARIKEI: Risiko kebakaran rumah panjang, khususya dalam musim panas tidak boleh dipandang ringan kerana boleh mengakibatkan kehilangan harta benda dan nyawa.

Aktiviti yang menyumbang kepada bahaya kebakaran perlu dielakkan boleh merebak sekelip mata dan mendatangkan kemusnahan dalam skala besar terutama jika berlaku di rumah panjang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei, Mahmudin Naruddin berkata, kebakaran adalah sesuatu tragedi yang tidak dapat diduga, selain berlaku akibat kecuaian sendiri.

“Sehubungan itu pemimpin masyarakat termasuk tuai rumah perlu memastikan kediaman mereka mempunyai alat pemadam kebakaran sebagai langkah keselamatan.

“Bagi pihak Bomba pula kita sentiasa komited melaksanakan pelbagai program kesedaran kepada penduduk rumah panjang,” katanya kepada wartawan sejurus selesai program ceramah dan demontrasi di Rumah Naning Undong Sungai Baji, di sini semalam.

Program yang bermula pada 9.30 pagi itu disertai seramai 62 orang penduduk rumah berkenaan.

Penganjuran program diseliakan Pegawai Bomba, Unjah Janggau dan dibantu seramai enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei.

Mahmudin berkata, program itu amat penting kerana kebanyakan rumah panjang berada di pedalaman, selain mengambil masa lama untuk jentera bomba berada di lokasi kejadian.

“Menerusi program ini, penduduk didedahkan dengan pelbagai langkah keselamatan selain mendapatkan latihan daripada pasukan bomba apabila berdepan dengan situasi yang tidak diduga.

“Pada masa yang sama, penduduk juga berpeluang menyertai Program Bomba Sukarelawan,” katanya.

Beliau turut menghargai sumbangan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei kerana aktif menjalankan program mendekati masyarakat.

Penduduk tekun mendengar taklimat.

Antara penduduk Rumah Naning Undong Sungai Baji yang menyertai program ceramah kebakaran Bomba Sarikei, semalam.