Waspada banjir berulang

MATU: Penduduk di kawasan rendah berisiko banjir di daerah ini diminta berwaspada selepas berlaku kenaikan paras air berikutan hujan lebat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daro, Mohd Noor Abdullah berkata, hujan lebat sejak beberapa hari lalu mengakibatkan kawasan dinaiki air mulai semalam.
Sehubungan itu katanya, bomba kini juga bersiap sedia dan sentiasa melakukan pemantauan bagi menghadapi kemungkinan banjir berulang berikutan keadaan cuaca yang masih tidak menentu.
“Antara kawasan terbabit ialah Kampung Jemoreng apabila air mula naik berikutan fenomena air pasang besar dan hujan lebat. Air di Pekan Matu juga menunjukkan kenaikan pada paras 0.3 meter,” katanya kepada Suara Sarawak.
Dalam perkembangan berkaitan semua pihak termasuk ketua masyarakat diminta bekerjasama memantau keadaan di kampung masing-masing.
Keadaan membimbangkan penduduk kerana daripada pengalaman lalu, paras air akan terus meningkat naik jika hujan lebat berterusan.
Sehubungan itu, Bomba dan Penyelamat Daro melakukan pemantauan di sekitar Matu – Daro dan jalan utama di kawasan itu bermula jam 4.18 petang semalam.
“Setakat ini, keadaan masih terkawal namun sekiranya hujan lebat berlaku dengan intensiti tinggi dalam tempoh lebih lama, kawasan-kawasan rendah di Matu- Daro mungkin kembali mengalami banjir.
“Sehubungan itu, tahap kesedaran dan kesiapsiagaan dalam kalangan masyarakat amat penting bagi menyiapkan diri bagi menghadapi sebarang kemungkinan. Bagi pihak bomba pula, kita sentiasa bersiap-sedia, bukan sekadar pada musim bencana,” ujarnya.

Suara Sarawak