Trending

Waspada cuaca tidak menentu

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel
Foto: BERNAMA

PERALIHAN cuaca berikutan Monsun Timur Laut yang disusuli hujan lebat berterusan mendatangkan risiko banjir terutama di kawasan rendah dan tebingan sungai. 

Fenomena ini tidak menghairankan kerana Malaysia terletak berhampiran garisan Khatulistiwa menjadikan iklimnya hampir sekata sepanjang tahun.

Namun berdasarkan keadaan geografinya, negara ini boleh dianggap bertuah bebas ancaman bencana alam dahsyat seperti pasang surut tsunami, gunung berapi dan gempa bumi.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan sebanyak 50 peratus daripada penduduk dunia yang tinggal di kawasan pantai akan terdedah kepada ancaman banjir, ribut dan tsunami menjelang 2030.

Anggaran yang dikeluarkan sempena Hari Kesedaran Tsunami Sedunia, turut menyenaraikan bencana tsunami yang berlaku sepanjang 100 tahun lalu, punca serta kesannya kepada masyarakat, bahaya selepas itu dan kematian.

Malah, menurut Agensi Anadolu, laporan itu menyatakan bahawa melaksanakan dasar dan langkah awal yang tepat serta sesuai dapat membantu mencegah potensi bencana.

PBB yang menyenaraikan tsunami sebagai antara bencana alam paling berbahaya, memberi amaran bahawa urbanisasi dan pelancongan harus dicegah di kawasan yang mudah berlaku tsunami bagi mengelakkan risiko terhadap orang ramai.

Sri Lanka, India, Indonesia, Thailand dan Jepun antara negara paling terjejas, menurut kenyataan itu.

Data PBB dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan kira-kira 260,000 orang terbunuh akibat 58 tsunami yang melanda dalam tempoh 100 tahun lalu.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Suruhanjaya Oseanografi UNESCO (IOC) menjalankan kajian untuk menyelaraskan perkhidmatan amaran awal tsunami.

Sementara itu, meskipun tidak seburuk negara luar, bencana banjir besar yang kerap berlaku di negara ini tetap dianggap sebagai malapetaka yang boleh mengakibatkan kehilangan nyawa dan harta benda.

Agensi Sektor Pelaksanaan Operasi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), sentiasa bersedia memastikan semua agensi Persekutuan berkaitan pengurusan bencana bersiap sedia semasa Monsun Timur Laut (MTL).

Latihan berterusan NADMA melalui Program Pengurusan Bencana Berasaskan Komuniti (CBDM) selain penganjuran Program Kesiapsiagaan Nasional bukan sahaja usaha penting bagi memberi pendedahan pengurusan bencana yang sistematik tetapi juga membolehkan mereka lebih bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.

Pada masa yang sama, penganjuran program itu juga dilihat mampu meningkatkan pengetahuan komuniti desa dalam menangani situasi bencana dan memberi kemahiran kepada peserta dalam tindakan-tindakan awal kecemasan.

Seiring perubahan masa, prosedur operasi standard (SOP) pengurusan bencana alam seperti kemarau, gempa bumi, banjir, jerebu dan tsunami juga perlu dikaji semula.

Langkah itu mampu memperkukuh pengurusan risiko bencana pada peringkat komuniti selain latihan secara berterusan bagi penduduk yang tinggal di kawasan cenderung bencana.

Dalam perkembangan berkaitan, persediaan yang dilakukan oleh pihak yang berwajib tidak memberi sebarang makna tanpa kerjasama segenap lapisan masyarakat.

Mereka juga perlu sentiasa mengikut arahan dan perkembangan semasa khususnya membabitkan bencana alam yang kerap berlaku seperti banjir.

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

27 November 2023

Berita Terbaru