Waspada hadapi musim jerebu

KUCHING: Orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga untuk menghadapi musim jerebu yang bakal melanda negeri ini.

Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii Lee Yuen berkata langkah-langkah itu harus diambil serius terutamanya bagi mereka yang sering meluangkan masa di luar rumah.

“Jika hendak keluar dari persekitaran yang tertutup, langkah pertama adalah memeriksa tahap indeks pencemaran udara (IPU).

“Sekiranya tahap IPU tinggi, orang ramai dinasihati untuk memakai topeng muka sekiranya hendak keluar dan jika boleh, elakkan daripada meluangkan masa di luar,” katanya.

Kelvin berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sesi pelepasan peserta Larian Amal PIBG yang bertempat di SMK St. Thomas, di sini, semalam.

Kelvin juga berkata, pihaknya akan melawat beberapa sekolah rendah di sekitar kawasan Kuching untuk mengedarkan topeng muka percuma sebagai langkah awal persediaan masyarakat menghadapi musim jerebu.

Selain itu, beliau juga menasi-hatkan mereka yang mempunyai simptom-simptom kesihatan akibat jerebu seperti sesak nafas untuk berjumpa dengan pakar kesihatan dengan kadar segera.

Dalam acara sama, Kelvin dan Adun Padungan, Wong King Wei menyampaikan wang sumbangan sebanyak RM15,000 kepada PIBG sekolah itu.

Turut hadir ke larian itu, Pengetua SMK St. Thomas, Robin Sabai dan Yang Dipertua PIBG SMK St. Thomas, Maruni Langga.

Difahamkan larian tersebut telah menerima penyertaan sekitar 250 orang dan melibatkan dua kategori iaitu larian sejauh 3 kilometer (km) dan 5 km.

Suara Sarawak