Waspada taktik penipuan ambil alih akaun WhatsApp – MCMC

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini menasihatkan orang ramai agar berwaspada dengan kewujudan taktik penipuan yang bertujuan mengambil alih akaun WhatsApp pengguna.
MCMC dalam kenyataan di sini berkata taktik berkenaan menggunakan pelbagai helah bagi memperdaya pengguna supaya menyerahkan kod pengesahan enam digit yang diterima daripada pihak WhatsApp.
“Kod pengesahan tersebut amnya diterima oleh pengguna untuk tujuan pengesahan apabila berlaku cubaan pertukaran nombor telefon yang dikaitkan dengan sesuatu akaun WhatsApp.
“Pengguna yang terpedaya menyerahkan kod pengesahan tersebut boleh menyebabkan akaun WhatsApp mereka diambil alih oleh scammer,” katanya.
Jusrteru, MCMC menyeru agar pengguna berwaspada terhadap permintaan kod pengesahan enam digit WhatsApp daripada mesej orang yang dikenali seperti rakan atau ahli keluarga atau panggilan orang yang tidak dikenali atau pihak yang mengaku sebagai kakitangan WhatsApp serta pihak lain termasuklah pihak berkuasa.
“Para pengguna diingatkan agar tidak sama sekali menyerahkan kod pengesahan enam digit WhatsApp kepada mana-mana pihak,” katanya.
MCMC berkata pengguna yang telah menjadi mangsa pengambilalihan akaun WhatsApp disaran untuk mengikuti langkah seperti di pautan https://faq.whatsapp.com/general/account-and- profile/stolen-accounts/ untuk mengambil alih semula akaun WhatsApp yang dirampas.
“Bagi melindungi diri daripada sebarang kemungkinan perbuatan jenayah, pengguna yang menjadi mangsa boleh membuat aduan dan laporan berhubung pencerobohan atau pengambilalihan akaun WhatsApp kepada balai polis berhampiran,” katanya.
Laporan juga boleh dibuat kepada MCMC menerusi saluran portal aduan MCMC: https://aduan.skmm.gov.my, e-mel: aduanskmm@mcmc.gov.my atau WhatsApp: 016-220 6262.  — BERNAMA

Suara Sarawak