Trending

Waspada tragedi kepala air

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

Tragedi kepala air di Jeram Mawar, Air Putih, Kemaman, Terengganu baru-baru menjadi perhatian.

Lebih menyayat hati, aktiviti suka bertukar duka apabila tragedi tersebut dilaporkan meragut 10 nyawa termasuk sembilan sekeluarga dipercayai dihanyutkan ketika berkelah.

Menurut polis yang meninjau keadaan lokasi kejadian, paras air dipercayai meningkat 5-10 meter sekali gus menyebabkan mangsa tidak sempat melarikan diri.

Tidak dinafikan bahawa aktiviti rekreasi seperti perkelahan di kawasan air terjun antara yang popular dan menyeronokkan. 

Pun begitu, beberapa faktor keselamatan dan risiko perlu diambil kira termasuk fenomena kepala air.

Kepala air amat berbahaya kerana arusnya yang kuat membawa bersama kelodak, batu dan kayu.

Tidak hanya itu, aliran deras ini bergerak laju dan merempuh apa-apa sahaja yang ada di sepanjang laluan.

Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu Hassan ‘As’ari Omar, taburan hujan lebat luar biasa menjadi punca utama berlakunya kepala air besar di Jeram Air Putih. 

BACAAN HUJAN

Beliau berkata pada hari kejadian, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) merekodkan taburan hujan sebanyak 106.5 milimeter (mm) dalam tempoh singkat tidak seperti kelaziman kadar bacaan hujan yang dicerap di daerah Kemaman sebelum ini. 

Menurut laman rasmi Public Info Banjir JPS, daerah Kemaman pada 28 Jun mencatatkan taburan hujan sebanyak 0.5 mm, 9.0 mm (2 Julai) dan 0.5 mm (3 Julai).

Data taburan hujan pada 29 dan 30 Jun tidak direkodkan disebabkan gangguan sistem cerapan. 

Jelas beliau, kepala air juga boleh berlaku disebabkan pembentukan kawah di sepanjang sungai dan bongkah yang menghalang sisa untuk turun menyelusuri Sungai Teladas. 

Beliau percaya hujan lebat sebelum ini menyebabkan segala yang terkumpul dalam kawah sungai itu dan tersangkut pada bongkah termasuk batuan tinggi tidak lagi mampu menahan beban tersebut sebelum secara tiba-tiba runtuh dan hanyut membentuk kepala air. 

ARUS DERAS

Justeru, Hassan ‘As’ari berkata arus deras kemudiannya mengalir ke Sungai Teladas hingga sampai ke Jeram Air Putih, lokasi 10 individu yang berkelah ketika itu sebelum dihanyutkan.

Jelasnya hasil penelitian di lokasi kejadian mendapati kawasan tersebut mempunyai kelebaran sungai yang luas, dengan jarak ke tebing kira-kira 80 meter dan percaya paras air meningkat sehingga 5 meter, sekali gus menyukarkan mangsa untuk menyelamatkan diri.

Dalam kejadian kira-kira 5 hingga 6 petang pada Sabtu lepas (1 Julai), sembilan sekeluarga dari Felda Lepar Hilir, Kuantan, Pahang termasuk bakal menantu ahli keluarga itu dari Batu Pahat, Johor dihanyutkan kepala air. 

Berikutan berlakunya kes lemas yang menggerunkan ini, orang ramai dinasihatkan supaya mengelak ke kawasan sungai atau air terjun kerana risiko berlakunya insiden alam seperti kepala air.

Selain itu, sekiranya berada di kawasan berisiko penting untuk tahu petanda awal kepala air kerana anda hanya ada 10 hingga 15 minit untuk keluar dari kawasan sungai. 

Antaranya, langit gelap di puncak bukit (hulu sungai), terdapat bunyi guruh, dentuman, letupan kuat atau sebarang bunyi kuat yang luar biasa, perubahan warna air daripada jernih ke warna gelap atau kehitaman dan paras air meningkat secara mendadak. 

Perhatikan setiap tanda ini tidak kira musim, kerana ia boleh berlaku bila-bila masa. 

Kalau boleh, elakkan melakukan sebarang aktiviti di kawasan sungai atau air terjun buat sementara waktu untuk mengelakkan sebarang risiko. 

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

22 September 2023

Berita Terbaru