Media sosial dan Internet berpengaruh kuat dalam kehidupan harian rakyat Malaysia, secara signifikan bukan sahaja membentuk gaya hidup mereka, proses berfikir dan nilai diri, bahkan fahaman politik mereka.
Kajian oleh Kajidata pada Julai yang menggunakan sampel rawak sebanyak 1,082 responden, mendedahkan, 71 peratus rakyat Malaysia menggunakan aplikasi WhatsApp setiap hari sepanjang minggu, diikuti Facebook (51 peratus), TikTok (49 peratus), Instagram (45 peratus) dan X (Twitter) 30 peratus.
Penggunaan Internet juga didapati meluas, dengan 61 peratus responden melaporkan aktiviti dalam talian sepanjang minggu.
Dalam analisis hasil kajian, Penasihat Kajidata Profesor Datuk Seri Syed Arabi Idid menunjukkan saluran media tradisional seperti televisyen (40 peratus) dan radio (20 peratus) tidak mampu bersaing dengan daya tarikan media sosial dan Internet.
Bekas Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu berkata, zaman digital memencilkan media cetak, seperti yang jelas dilihat dalam data kajian, dengan hanya 20 peratus terlibat dengan media cetak sepanjang minggu.