ARTIKEL

WHO keluar amaran perubahan iklim dunia

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

GENEVA: Ketua iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Selasa mengeluarkan amaran peringkat merah apabila data baru menunjukkan bahawa rekod bagi setiap petunjuk iklim telah dipecahkan pada tahun 2023.

Menurut laporan Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO), pada tahun lepas rekod untuk pelbagai petunjuk perubahan iklim telah dipecahkan seperti tahap gas rumah hijau, suhu permukaan, haba lautan dan pengasidan, peningkatan paras laut, litupan ais di Antartika dan pemecahan glasier.

“Laporan tahunan ini menunjukkan bahawa krisis iklim adalah cabaran paling ketara yang sedang dihadapi oleh manusia.

“Ia berkait rapat dengan krisis ketidaksamaan seperti yang disaksikan oleh peningkatan keterjaminan makanan, perpindahan penduduk dan kehilangan biodiversiti,” kata Setiausaha Agung WMO, Celeste Saulo dalam satu sidang media di Geneva, lapor Xinhua.

Menurut laporan itu, gelombang haba, banjir, kemarau, kebakaran hutan dan siklon tropika yang semakin meningkat dengan cepat telah menyebabkan kesengsaraan dan kekacauan tahun lepas, menjejaskan kehidupan berjuta-juta orang dan menyebabkan kerugian ekonomi berbilion dolar.

WMO mengesahkan bahawa tahun 2023 adalah tahun paling panas pernah direkodkan dengan purata suhu global sebanyak 1.45 darjah Celsius, dengan margin ketidakpastian sebanyak 0.12 darjah Celsius, melebihi paras pra-industri.

“Kami tidak pernah sedekat ini — walaupun secara sementara pada masa ini — dengan had bawah 1.5 darjah Celsius yang ditetapkan oleh Perjanjian Paris mengenai perubahan iklim,” kata ketua WMO itu.

Lebih 90 peratus laut telah mengalami keadaan gelombang haba pada satu ketika pada tahun 2023, dan satu set glasier rujukan global mengalami kehilangan terbesar ais yang pernah direkodkan.

Selain itu, ais laut Antartika mencapai tahap terkecil pernah direkodkan, dengan 1 juta kilometer persegi kurang pada penghujung musim sejuk berbanding tahun rekod sebelumnya.

Sementara itu, kepekatan yang diperhatikan bagi tiga gas rumah hijau utama — karbon dioksida, metana dan nitrus oksida — mencapai tahap rekod pada tahun 2022 dan terus meningkat pada tahun 2023.

Tahap karbon dioksida adalah 50 peratus lebih tinggi berbanding era pra-industri.– BERNAMA-XINHUA

BERITA LAIN

OJ Simpson meninggal dunia pada usia 76 tahun

OJ Simpson sudah meninggal akibat kanser pada usia 76 tahun, kata keluarganya. Menurut mereka dalam satu kenyataan: “Pada 10 April lepas, bapa kami, Orenthal James

Festival Air Sedunia Maha Songkran bermula di Thailand

Bangkok, Thailand: Kerajaan Thailand semalam melancarkan Festival Air Sedunia Maha Songkran 2024 bagi mempamerkan pelbagai tradisi negara itu sempena Songkran atau permulaan Tahun Baharu Thailand yang disambut setiap

BERITA TERBARU

OJ Simpson meninggal dunia pada usia 76 tahun

OJ Simpson sudah meninggal akibat kanser pada usia 76 tahun, kata keluarganya. Menurut mereka dalam satu kenyataan: “Pada 10 April lepas, bapa kami, Orenthal James