WHO ramal wabak berterusan untuk tempoh masa lama

GENEVA: WHO memberi amaran virus Covid-19 terus wujud dalam tempoh masa yang lama dengan kebanyakan negara masih pada tahap awal menangani pandemik tersebut.

Wabak itu bukan sahaja memicu darurat kesihatan tetapi juga menyebabkan kejatuhan ekonomi global dengan banyak perniagaan terpaksa bergelut, jutaan kehilangan pekerjaan dan jutaan lagi diancam kebuluran.

Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, beberapa negara yang sebelum ini menganggap virus Covid-19 sudah terkawal, kini menyaksikan jumlah kes melonjak sementara rantau Afrika dan AS turut menunjukkan trend meningkat.

Beliau menegaskan perkara itu ketika di tengah-tengah kritikan yang dihadapinya, agensi kesihatan PBB mengisytiharkan keadaan kecemasan global tepat pada waktunya untuk negara melakukan persiapan dan merancang tindak balas mereka.

Sebelum ini WHO dikecam teruk oleh AS atas cara ia menangani pandemik itu, tetapi Tedros menepis gesaan agar beliau meletak jawatan.

“Jangan silap kerana kita masih terus berdepan dengan virus ini untuk masa yang lama lagi,” kataTedros.

“Kebanyakan negara masih dalam peringkat awal epidemik. Manakala negara yang terkesan awal pandemik ini pula mula menunjukkan peningkatan semula kes,” tambahnya.

Wilayah paling teruk di Eropah menyaksikan angka kematiannya meningkat kepada 110,000 orang, sementara kematian di Itali, negara paling teruk dilanda berada di belakang AS mencecah 25,000 orang.

Finland mengumum mengekalkan larangan perhimpunan lebih 500 orang hingga Julai.

Manakala di Sepanyol, yang melaporkan sedikit kenaikan untuk hari kedua dalam jumlah kematian Covid-19, pemerintah mengumumkan mereka tidak bercadang menarik penguncian sepenuhnya yang ketat sehingga pertengahan Mei ini.

Setakat ini, angka korban global sudah melepasi 175,000 menurut perangkaan sumber rasmi yang dikumpulkan AFP, manakala lebih 2.5 juta kes dilaporkan sejak epidemik itu muncul buat pertama kali di China pada Disember. – AFP

Suara Sarawak