WHO syor terus gunakan vaksin AstraZeneca

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata ia terus mengesyorkan penggunaan vaksin AstraZeneca kerana manfaatnya mengatasi risiko walaupun terdapat penolakan penggunaannya secara meluas.

“Pada masa ini, WHO menganggap bahawa manfaat vaksin AstraZeneca melebihi risiko dan mengesyorkan supaya penggunaan vaksin itu diteruskan,” kata kenyataan itu.

Pertubuhan itu menekankan bahawa darah beku (venous thromboembolism) yang dikesan pada sejumlah pesakit selepas disuntik AstraZeneca, adalah penyakit kardiovaskular ketiga yang paling biasa di dunia.

Setakat ini tidak ada petunjuk yang jelas mengenai hubungan langsung antara penyakit berkenaan dan vaksin.

WHO sentiasa berhubung dengan Agensi Ubat-ubatan Eropah dan pengawal selia seluruh dunia untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai keselamatan ubat-ubatan.

Jawatankuasa Penasihat Global WHO mengenai Keselamatan Vaksin dijangka mengumumkan keputusannya mengenai keselamatan AstraZeneca hari ini. – BERNAMA

Suara Sarawak