ARTIKEL

Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan. - Foto: Mohd Alif Noni

WTO unjur perdagangan barangan Sarawak tumbuh 3.3 peratus pada 2024 seiring pemulihan global

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Perdagangan Sarawak dijangka bertambah baik pada tahun ini seiring pemulihan perdagangan global.

Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, berkata Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) mengunjurkan 3.3 peratus pertumbuhan dalam perdagangan barangan.

Menurutnya, ia disokong oleh perbelanjaan swasta dan awam yang lebih kukuh, di samping rantaian bekalan yang lebih baik dan peningkatan penyertaan tenaga buruh.

“Sehubungan itu, bagi suku pertama tahun ini, jumlah perdagangan meningkat 5.9 peratus kepada RM52.2 bilion berbanding RM49.3 bilion bagi suku pertama 2023.

“Kedua-dua eksport dan import melonjak, masing-masing sebanyak 5.8 peratus dan 6.3 peratus, disokong oleh pertumbuhan dalam permintaan global dan domestik,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sesi penggulungan Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan pada Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Ketiga DUN Ke-19 di sini, hari ini.

Jelasnya, tahun lalu menyaksikan nilai perdagangan lebih rendah, iaitu turun sebanyak 11.2 peratus kepada RM193 bilion disebabkan oleh permintaan global yang lebih perlahan, harga komoditi lebih rendah, dan ketegangan geopolitik.

“Eksport turut merosot sebanyak 14.8 peratus kepada RM130.4 bilion, manakala import menguncup 2.5 peratus kepada RM62.6 bilion berbanding 2022,” ujarnya.

Awang Tengah menambah, eksport Sarawak kekal dikuasai oleh gas asli cecair (LNG) yang menyumbang 42 peratus daripada keseluruhan eksport pada 2023.

“Jumlah volum eksport LNG meningkat sedikit sebanyak 0.7 peratus kepada 24.8 juta tan.

“Bagaimanapun, nilai eksport susut 11.6 peratus kepada RM54.8 bilion disebabkan oleh harga komoditi yang lemah.

“Harga purata bagi LNG merosot sebanyak 12.2 peratus daripada RM2,520 satu tan kepada RM2,213 satu tan dalam tempoh yang sama.

“Sementara itu, eksport produk elektrik dan elektronik (E&E) meningkat sebanyak 15.4 peratus pada 2023, disokong oleh peningkatan permintaan terhadap semikonduktor, solar dan komponen untuk bateri kenderaan elektrik.

“Sektor ini dijangka berkembang sebanyak lima peratus pada 2024, berikutan permintaan global yang positif bagi industri mampan, lebih hijau dan bersih seperti solar, kenderaan elektrik dan peranti teknologi perubatan,” katanya.

Jumlah import di Sarawak, kata Awang Tengah, turut merekodkan kemerosotan sebanyak 2.5 peratus kepada RM62.6 bilion pada 2023 diheret oleh kategori utama, iaitu barangan perantaraan dan penggunaan.

“Import barangan pengantara, yang menyumbang 52.4 peratus daripada jumlah keseluruhan import, menurun akibat kelembapan dalam eksport perkilangan.

“Manakala barangan penggunaan dengan bahagian 18.4 peratus menguncup 3.2 peratus,” ujarnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

MCMC, PDRM banteras kegiatan pancing data

PUTRJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia berjaya membanteras kegiatan memancing data (phishing) melalui pautan khidmat pesanan ringkas (SMS) menerusi