Wifi Kamek hadiah untuk orang Sibu Laut

KUCHING: Pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Sibu Laut tidak lagi berdepan kesukaran untuk mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) selepas kemudahan internet WiFi Kamek dipasang di kampung nelayan itu.

Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, sebelum ini seramai 26 pelajar sekolah tersebut berdepan kesukaran untuk mendapat liputan internet. “Dengan adanya kemudahan ini, pelajar boleh mengikuti PdPR pada bila-bila.

“Kita berterima kasih kepada Reach 10 Communication dan Sarawak Multimedia Authority (SMA) yang menyediakan kemudahan ini untuk penduduk setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan WiFi Kamek di Kampung Sibu Laut semalam.

Dr Abdul Rahman yang juga Menteri Muda Utiliti (Bekalan Air) menjelaskan, kemudahan Internet tersebut juga membantu masyarakat tempatan dan pelajar untuk terus berhubung.

“Kampung ini amat bertuah kerana terpilih untuk pemasangan kemudahan Internet,” ujarnya.

Menurutnya, kampung tersebut kini mempunyai kemudahan asas lengkap merangkumi bekalan air bersih, elektrik dan Internet.

Hadir sama Pengurus Besar SMA Dr Zaidi Razak dan Pengarah Reach 10 Communication Leo.

Suara Sarawak