Lumrah kehidupan manusia sejagat mencari seseorang yang layak sebagai pemimpin baik dalam keluarga atau institusi kemasyarakatan.
Tidak ada contoh terbaik yang wajar dijadikan ikutan dalam kehidupan seharian melainkan Nabi Muhammad SAW.
Sebagaimana firman Allah SWT dalam al-Quran: “Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan keredaan Allah dan balasan baik hari akhirat serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak dalam masa susah dan senang”. (maksud al-Ahzab: 21)
Baginda Muhammad SAW sememangnya dilahirkan berkaliber sebagai pemimpin, bahkan sekiranya kita meneliti sirah sebelum Baginda dilantik oleh Allah SWT menjadi Nabi dan Rasul, Baginda sudah menjadi rujukan kaum Quraisy sebagai pemimpin yang adil.
Terdapat kisah pembinaan semula Kaabah selepas banjir besar melanda kota Makkah dan seusai pembinaan tersebut, maka kaum Quraisy berselisih pendapat untuk peletakan semula hajar aswad.
Akhirnya mereka bersetuju menyerah peletakan hajar aswad kepada individu pertama yang memasuki Masjid al-Haram melalui pintu Bani Syaibah ketika itu.
Perancangan Allah SWT itu sememangnya tepat dan melangkau jangkaan manusia.
Nabi Muhammad SAW ialah individu yang ditakdirkan memasuki pintu tersebut lalu Baginda diamanahkan untuk menjadi ketua semasa meletakkan semula hajar aswad.
SIFAT AMANAH, ADIL
Sebagai pemimpin haruslah memiliki sifat amanah dan adil terhadap rakyat yang berada di bawah penguasaannya.
Kedua-dua sifat itu sememangnya sifat yang dimiliki oleh Baginda terutama apabila beliau berjaya menguasai kota Madinah, terserlah sifat kepimpinan Baginda dalam memerintah kota Madinah yang terdiri daripada pelbagai bangsa, kaum dan agama.
Bahkan antara ciri utama pemimpin yang disebutkan dalam hadis ialah bersifat adil iaitu meletakkan sesuatu pada tempatnya yang betul.
Justeru, terdapat banyak hadis tentang kelebihan pemimpin adil.
Antara kelebihannya di dunia; pertama, doa pemimpin yang adil tidak ditolak oleh Allah SWT.
Abu Hurairah RA berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Tiga orang yang doa mereka tidak ditolak, iaitu orang yang berpuasa hingga berbuka, seorang imam (pemimpin) yang adil dan doa orang yang dizalimi.” (maksud hadis riwayat Ahmad)
Kemudian pemimpin yang berintegriti dan amanah layak mendapat doa mustajab Nabi SAW.
Aisyah RA berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW berdoa ketika berada di dalam rumahku ini: “Ya Allah, sesiapa yang menjawat sesuatu jawatan dalam urusan umatku, lalu dia mempersulit urusan mereka, maka persulitkanlah dia.
Dan sesiapa yang menjawat sesuatu jawatan dalam urusan umatku, lalu dia berbuat baik dengan mereka, maka berbuat baiklah dengannya.” (maksud hadis riwayat Muslim)
Hal ini jelas menunjukkan kepada kita Nabi Muhammad SAW bukan ditugaskan sebagai Nabi dan Rasul, namun sebagai pemimpin yang disegani.
Sistem kepimpinan dan keunggulan pemerintahan Baginda diteruskan oleh para sahabat sehingga menjadikan Kota Madinah sebagai sebuah kuasa terulung di dunia.
Rasulullah SAW bersabda: “Setiap orang Islam wajib mendengar dan mentaati dalam perkara yang dia sukai dan perkara yang dia benci, kecuali dia diperintah melakukan maksiat.
Maka dia tidak boleh mendengar atau mentaati.” (maksud hadis riwayat Bukhari)