Wilayah Sarawak: Tidak harus sekadar kata-kata

KUCHING: Pemimpin di Sarawak mengalu-alukan pengiktirafan wilayah diberikan kepada Sarawak, namun menegaskan ia tidak harus sekadar menjadi katakata, sebaliknya mesti ditentukan dengan jelas menerusi pindaan Perlembagaan Persekutuan.

Ahli Parlimen Santubong Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pengiktirafan status Sarawak harus dirujuk berdasarkan lima dokumen iaitu Laporan Suruhanjaya Cobbold; Perjanjian Malaysia 1963 (MA63); Laporan Antara Kerajaan (IGC); Akta Malaysia (UK) dan Akta Malaysia (Tanah Melayu) serta Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

“Bukan perbincangan, surat menyurat atau anggapan tetapi lima dokumen… apa-apa sahaja di luar lima dokumen ini, bukan merupakan sebahagian daripada dokumen yang dipersetujui untuk MA63.

“Sekiranya Kerajaan Persekutuan bersedia menulis semula MA63 dan semua empat dokumen berkaitan, saya mengalu-alukannya dengan sepenuh hati tetapi Perlembagaan Persekutuan mesti diperbaiki dan dipinda sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Justeru, Wan Junaidi yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi bersetuju dengan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang menyerahkan kepada pakar undang-undang untuk menentukan istilah wilayah kepada Sarawak, yang kini masih dibincangkan di bawah MA63.

“Sekiranya seseorang yang belum membaca dan memahami dengan teliti lima dokumen berkaitan, yang terbaik adalah berdiam diri,” katanya.

Manakala Adun Piasau Datuk Sebastian Ting berkata, Sarawak adalah antara empat rakan pengasas asal pembentukan Malaysia, dan seharusnya tidak dilayan seperti negeri-negeri lain di Semenanjung.

Justeru katanya, penting untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi meletakkan Sarawak sebagai rakan setaraf dalam Malaysia. “Ia harus bersifat substantif seperti memperuntukkan satu pertiga kerusi di Parlimen kepada Sarawak termasuk Sabah.

“Saya percaya ini adalah satusatunya cara perkongsian kuasa yang tulen antara tiga rakan yang sama iaitu Sarawak, Sabah dan Semenanjung,” katanya.

Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan itu menegaskan, Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan GPS, yang diketuai Abang Johari sangat konsisten mahu Perlembagaan Malaysia dipinda bagi mencerminkan niat sebenar pembentukan Malaysia pada 1963.

“Kami percaya Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ikhlas ketika membuat pengumuman penting ini tetapi ia harus membawa perubahan yang nyata. Jika tidak, ia hanya bermain dengan kata-kata,” katanya.

Sementara itu, Ketua Biro Aduan SUPP Wilfred Yap berkata, pengiktirafan wilayah yang diberikan itu harus selaras dengan MA63. Beliau yang juga Pengerusi SUPP Kota Sentosa berharap ia bukan sekadar lip service kepada rakyat Sarawak tetapi dengan niat sebenar untuk mengembalikan status Sarawak dalam pembentukan Malaysia.

“Perkataan wilayah ini mesti ditentukan dengan jelas dan dalam konteks ini, Perlembagaan Persekutuan harus dipinda untuk mencerminkan niat sebenar pembentukan Malaysia melalui penyatuan tiga wilayah iaitu Tanah Melayu, Sarawak dan Sabah.

“Melihat kepada sistem perundangan, kita mempunyai Mahkamah Tinggi Malaya serta Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak,” katanya. Presiden Parti Bumi Kenyalang Voon Lee Shan pula berkata, semua yang telah hilang termasuk wilayah, perairan wilayah, kekayaan laut, minyak dan gas serta pendapatan yang diambil dari Sarawak oleh Persekutuan Tanah Melayu harus dikembalikan semula sebelum Putrajaya harus membincangkan apa-apa sahaja yang mempengaruhi status Sarawak di persekutuan.

Beliau menambah, apa-apa sahaja status atau pengiktirafan yang diberikan kepada Sarawak sebagai wilayah tidak berguna sekiranya semua hak yang hilang tidak dikembalikan.

Suara Sarawak