Willie cetek sejarah

KUCHING: Dakwaan Ahli Parlimen Puncak Borneo Willie Mongin bahawa Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan dinafikan sekeras-kerasnya oleh Ketua Pemuda PRS Datuk Snowdan Lawan.

“Hakikatnya ia (RTP) merupakan idea mantan Ketua Menteri Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem yang diteruskan oleh Kerajaan Sarawak hingga ke hari ini,” katanya.

Kata Snowdan lagi, dakwaan Willie yang memberi kredit kepada Kerajaan Persekutuan seolah-olah menidakkan usaha yang diperkenalkan Tok Nan untuk penduduk luar bandar.

“Willie cetek pengetahuan. Dia tidak faham dan bercakap tanpa merujuk kepada fakta dan sejarah,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Willie pada Isnin, memuat naik dalam Facebooknya mendakwa Kerajaan Persekutuan menyalurkan dana untuk RTP di Sarawak.

Willie menjelaskan, apabila Kerajaan Persekutuan mengumumkan belanjawan tahunan, dana itu akan disalurkan kepada Kerajaan Negeri.

“Dia (Willie) sepatutnya tahu bahawa RTP adalah idea mantan Allahyarham Adenan Satem.

Itulah sebabnya ia unik kepada Sarawak,” kata Snowdan.

Beliau berkata, jelas Willie tidak faham bagaimana kutipan dan perbelanjaan yang diperoleh oleh Kerajaan Persekutuan seperti dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Menurutnya, salah satu sebab Singapura meninggalkan Malaysia pada 1965 adalah kerana ia berkeras untuk mengawal ekonomi dalamannya.

Seterusnya mempunyai kebebasan untuk membelanjakan apa-apa yang dikumpul secara dalaman tanpa perlu dihantar kepada Kerajaan Persekutuan, jelasnya.

“Salah satu aspek pembentukan Malaysia pula adalah negeri-negeri Melayu Bersekutu akan meningkatkan pembangunan dua negeri di Borneo iaitu Sarawak dan Sabah agar setanding dengan Tanah Melayu.

“Namun pembangunan ketika era pentadbiran Perdana Menteri Keempat (Tun Dr Mahathir Mohamad) adalah sedikit. “Selama 22 tahun (dari 1981 hingga 2003) memerintah, kekayaan kita dieksploitasi untuk membangunkan Malaya.

Semuanya atas atas alasan integrasi nasional. “Perolehan hasil emas hitam (minyak) serta cukai eksais, duti import, cukai harta benda serta pendapatan minyak dan gas kita telah banyak menyumbang kepada keseluruhan Keluaran Dalam Negara Kasar,” katanya.

Snowdan seterusnya menyatakan, “jika Willie merupakan anak jati Sarawak, dia akan tahu dari mana datangnya dana RTP dan seterusnya menyedari bahawa Sarawak adalah penyumbang utama kepada negara.”