Willie Mongin adalah kawan di pusat tapi lawan di peringkat negeri – Abdul Karim

KUCHING: Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah menyifatkan Willie Mongin sebagai lawan Gabungan Parti Sarawak (GPS) walaupun merupakan rakan dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Menurut Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan itu, ia kerana Ahli Parlimen Puncak Borneo berkenaan adalah ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Ya, GPS adalah mesra PN di peringkat pusat apabila ia menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama parti-parti lain termasuk Bersatu untuk menubuhkan kerajaan campuran pusat PN.

“Tetapi di peringkat Sarawak, kerajaan GPS tidak pernah menandatangani apa-apa MoU bersama mana-mana parti dari Malaya untuk bekerjasama.

“Willie Mongin adalah kawan di pusat tapi lawan di peringkat negeri,” katanya yang dihubungi, hari ini.

Karim merangkap Menteri Belia dan Sukan menjelaskan senario ini bukan asing di Sarawak.

“Pernah satu ketika dahulu Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) yang diketuai Leo Moggie ketika itu adalah bersama kerajaan pusat tetapi di peringkat negeri mereka adalah pembangkang,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata keadaan mungkin boleh berubah dan ia bergantung sama ada Willie masih kekal dalam parti dari Malaya atau bersama dengan parti komponen GPS, yang memperjuangkan hak dan kepentingan Sarawak.

“Apa-apa boleh berlaku dalam politik…hari ini Willie mungkin bukan bersama di negeri, mungkin suatu hari nanti keadaan boleh berubah,” katanya.