Wira terusan Kinyau

TERUSAN, spesies air tawar yang sukar diperoleh kerana hanya hidup di habitat semula jadi iaitu teluk sungai yang berarus deras menyebabkannya cukup istimewa.

Difahamkan, harga terusan RM15 sekilogram namun limpa ikan ini mampu mencecah ribuan ringgit membuatkan spesies itu sentiasa menjadi buruan.

Nelayan Bukit Kinyau, Mohd Nazrie Mansor, 32, berkata, isinya yang sedap menyebabkan terusan sentiasa menjadi perhatian ramai.

Malah katanya, mereka tidak mampu memenuhi permintaan pasaran kerana ikan berkenaan sukar ditangkap apatah lagi di habitat semulajadinya.

Nazire ( tengah) bersama Mohd Affizul Radini, 31 (kiri) dan Tarmizi membaiki pukat di Kampung Bukit Kinyau.

“Limpa ikan terusan yang digunakan untuk tujuan perubatan mempunyai harga cukup ‘mengeliurkan’ di pasaran. Ia mampu mencecah puluhan ribu ringgit sekilogram (kg),” katanya kepada wartawan Suara Sarawak.

Menurut Nazrie, menjinakkan ikan terusan liar yang hidup di Sungai Rajang di sememangnya tidak mudah.

Malah katanya, kesanggupan menaiki bot berjam-jam lamanya sudah menjadi perkara biasa bagi nelayan Kinyau.

Pukat hanyut dan selam menjadi pilihan utama nelayan Kinyau.

Bagaimanapun ujarnya, mereka pernah pulang dengan tangan kosong walaupun sudah terbiasa dengan keadaan sungai yang menjadi lubuk persembunyian ikan berkenaan.

“Kebanyakan nelayan di sini menggunakan pukat hanyut dan selam dengan ukuran lima hingga tujuh inci. Kebiasaannya kami turun ke sungai mengikut pasang surut air.

“Jika bernasib baik kami mampu mendaratkan tiga hingga empat ekor ikan dalam satu-satu masa,” katanya.

Kelihatan beberapa bot nelayan Kinyau yang digunakan untuk memburu terusan.

Seorang lagi nelayan, Mohd Tarmizi Mansor, 33, mengakui jumlah tangkapan mereka semakin berkurangan sejak kebelakangan ini.

Sehubungan itu katanya, pihak berwajib perlu mewartakan lokasi tertentu sebagai kawasan pemeliharaan atau perlindungan bagi mengelak kepupusan terusan.

“Kami yang di Kinyau juga memerlukan bantuan seperti pukat dan bot untuk meneruskan pekerjaan ini. Saya juga berharap agensi berkaitan memudahkan kami untuk mendapatkan lesen sebagai nelayan sungai,” tambahnya.

Sungai Rajang lubuk terusan

Suara Sarawak