Wisma SABATI siap pertengahan tahun depan

KUCHING: Yang Di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri, Toh Puan Ragad Kurdi Taib menerima kunjungan hormat daripada Sarawak Badan Amal Tenaga Isteri-Isteri (SABATI) yang diketuai Presidennya Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang di kediaman mereka di Jalan Demak, Bako Kuching semalam.

Kunjungan hormat itu untuk melaporkan perkembangan terkini projek pembangunan Wisma SABATI yang dijangka siap pada pertengahan tahun 2021.

SABATI ialah sebuah persatuan yang berdaftar bertujuan menjalankan kerja-kerja amal untuk membantu mengurangkan kemiskinan, memberi bantuan kepada warga emas, memajukan pendidikan, kebudayaan, sukan dan agama.

Projek Wisma SABATI telah memulakan kerja-kerja pembinaan tahun ini bakal dilengkapi dengan tiga blok utama iaitu dewan serbaguna, pentadbiran dan auditorium.

Hadir sama, isteri-isteri Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dayang Morliah Datuk Awang Daud, Puan Sri Corinne Masing dan Datin Dr Zaliha Abdullah yang juga Setiausaha Kehormat SABATI.

Suara Sarawak