WKB2030: Sarawak sedia beri kerjasama penuh bangunkan pelancongan eko

KUCHING: Sarawak sedia beri kerjasama penuh kepada kerajaan Pusat untuk bersama-sama membangunkan sektor pelancongan eko di negeri berkenaan yang digariskan sebagai salah satu titik panas ekonomi negeri dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030).

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata walaupun berbeza ideologi politik, tidak semestinya kerajaan negeri perlu membantah apa sahaja yang dicadangkan kerajaan Pusat, terutama sekiranya cadangan itu perkara baik kepada Sarawak.

“Saya juga akan menyokong apa sahaja yang baik kepada Sarawak, saya percaya semua rakyat Sarawak juga akan menyokongnya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan acara Drama Festival Kuala Lumpur versi Sarawak anjuran Media Prima Berhad di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi kumpulan Media Prima Berhad Datuk Syed Hussian Aljunid, Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia Datuk Hans Isaac dan Dekan Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif Universiti Malaysia Sarawak Professor Madya Dr Musdi Shanat.

Abdul Karim mengulas kenyataan Azmin Ali yang kerajaan pusat PH akan mengenal pasti sektor ekonomi titik panas dalam WKB2030 untuk mengurangkan jurang pembangunan antara Sarawak dan Sabah dengan Semenanjung, di Dewan Rakyat, baharu -baharu ini.

Sektor yang dicadangkan kerajaan pusat sebagai titik panas ekonomi di Sarawak ialah pelancongan eko, tenaga diperbahrui, pertanian berteknologi tinggi, penternakan, ekonomi komoditi dan produk hiliran.

Abdul Karim berkata beliau turut berharap perbincangan lanjut dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dapat dilaksanakan agar cadangan itu dapat direalisasikan bersama.

“Kalau Azmin Ali dapat mengenal pasti titik panas (pelancongan eko) itu maka sudah pasti beliau dapat mengumumkan apa itu sebenarnya dan jika ia mengenai pelancongan, bahagian mana di Sarawak mereka mahu mempromosikan pelancongan itu,” katanya. – Bernama