KUCHING: Persidangan Persatuan Kejururawatan Bencana Sedunia (WSDN) 2026 menghimpunkan pembuat dasar, pakar penjagaan kesihatan dan ahli akademik antarabangsa bagi memperkukuh tindak balas terhadap bencana serta membina komuniti berdaya tahan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, persidangan itu menyediakan platform untuk peserta membentuk kerjasama baharu selain bertukar pandangan dan pengalaman.
Persidangan berkenaan bukan sahaja memberi tumpuan kepada pencapaian akademik, malah menekankan peranan pembuat dasar dan agensi membentuk inisiatif praktikal demi keselamatan komuniti.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Penyelidikan Antarabangsa Kesembilan WSDN 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, hari ini.
Menurutnya, persidangan itu menjadi medan membincangkan isu alam sekitar dan bencana tempatan serta serantau, termasuk pengurusan jerebu rentas sempadan, tanah gambut, pembakaran dan masalah bekalan air susulan fenomena El Niño.
Pengalaman mengurus pandemik COVID-19 turut memberikan pengajaran penting mengenai keperluan membuat keputusan tegas ketika berdepan krisis bagi melindungi nyawa masyarakat.
Persidangan antarabangsa itu dianjurkan WSDN dengan kerjasama Kulliyyah Kejururawatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan beberapa organisasi lain.
Dr Sim berkata, lebih 90 peratus peserta persidangan itu datang dari luar Sarawak bagi berkongsi penyelidikan dan pengalaman masing-masing.
Katanya, bakat, penyelidikan dan idea berimpak tinggi boleh lahir dari mana-mana tempat, termasuk Sarawak, yang terus mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa. — ZAHID ZAKI / AZWALIEZA KHAI (Pelatih UNIMAS)




