Wujudkan banyak pusat pembangunan bola sepak

PERBADANAN Sukan Sarawak (SSC) dan Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) perlu bekerjasama untuk mewujudkan lebih banyak Pusat Pembangunan Bola Sepak di negeri ini.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, beliau berharap kedua-dua agensi berkenaan dapat bekerjasama membina pusat tersebut di seluruh negeri terutamanya di Miri, Sibu, Kapit, Samarahan dan Kuching.

“Saya sudah berjumpa dengan Presiden FAS Datuk Posa dan pihak SSC dan berkongsi pandangan serta harapan saya untuk melihat sukan bola sepak negeri ini lebih maju.

“Fokus bukan hanya diberikan kepada liga, tetapi program pembangunan.

“Kita hanya dapat melahirkan pemain-pemain yang bagus jika ada program pembangunan seperti akademi yang bermula dari daerah, bahagian dan seterusnya negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Program Belia Prihatin 2021 semalam.

Tegasnya, Sarawak tidak dapat mengharapkan keajaiban untuk melihat negeri ini menguasai sukan nombor satu dunia itu kerana ia perlu dibina dari bawah terlebih dahulu.

“Justeru, saya berharap kita akan dapat melahirkan ramai pemain bola sepak yang berbakat besar, dan itu adalah harapan saya.

“Pada masa ini kita mempunyai pasukan Kuching City FC dan Sarawak United FC, diharap kedua-duanya dapat mengharumkan nama negeri serta meningkatkan kualiti sukan bola sepak kita,” tambahnya.

Beliau berharap agar pandemik Covid-19 dapat berakhir tidak lama lagi kerana ia merundum akibat penularan wabak dan sedih melihat keadaan stadium yang kosong tanpa penonton.

Suara Sarawak