Wujudkan jambatan dengan kerajaan

ENGKILILI: Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas menggesa rakyat di Dun Engkilili supaya memilih Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang agar dapat mewujudkan ‘jambatan’ dengan Kerajaan Sarawak. Katanya, ketika ini Engkilili diwakili oleh wakil rakyat dari blok pembangkang.

“Engkilili kini tidak mempunyai jambatan dengan Kerajaan GPS ekoran wakilnya merupakan ahli pembangkang. “Namun, kita berharap pada PRN akan datang rakyat di sini akan mengundi GPS. Ini penting demi generasi masa depan di sini,” katanya pada seminar pembangunan dan pengurusan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di dewan komuniti dekat sini baru-baru ni.

Bagaimanapun jelasnya, dasar yang diamalkan oleh Kerajaan Sarawak menyebabkan Engkilili tahun ini diperuntukkan sejumlah RM4.26 juta untuk Program Transformasi Luar Bandar. “Selain terdapat banyak program dan aktiviti sosioekonomi serta pertanian lain yang akan terus dibawa ke semua kawasan.

“Misalnya, Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah (Manred) mempunyai RM265 juta peruntukan dana pemudah cara pertanian yang bertujuan membantu pekebun kecil menjana pendapatan dan menaik taraf hidup masing-masing.

“Kepimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg ingin membawa pembangunan dan kemajuan ke semua kawasan khususnya kawasan luar bandar,” ujarnya. Uggah ketika menyentuh hal berkaitan JKKK, menggesa peranan ahlinya untuk memudahkan pelaksanaan projek pembangunan rakyat lebih-lebih lagi kini Kerajaan Sarawak membenarkan mereka melaksanakan projek RTP tertentu.

Pada majlis tersebut juga, beliau menyampaikan cek sumbangan Unit Hal Ehwal Agama-agama Lain (Unifor) sebanyak RM100,000 masing-masing kepada Gereja Saint Bennedict dan Saint Alython. Hadir sama Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Dr. Sim Kui Hian, Pegawai Khas di Jabatan Ketua Menteri Datuk Stephen Mundaw, Residen Bahagian Sri Aman Indit Bangai dan Setiausaha Politik Ketua Menteri Dr. Richard Rapu.

Suara Sarawak