Wujudkan zon bebas buaya

KOTA SAMARAHAN: Satu inisiatif untuk menguruskan populasi buaya perlu diwujudkan bagi memastikan nelayan bebas untuk mencari hasil tangkapan di sungai tanpa risiko ancaman daripada buaya.
Adun Muara Tuang Datuk Idris Buang berkata, satu zon bebas buaya perlu diwujudkan di Samarahan untuk membolehkan nelayan melakukan aktiviti mereka di sungai selain mewujudkan zon buaya di kawasan terpilih.
“Apabila buaya berada di satu zon khas yang diwartakan oleh undang-undang, ia akan dijaga dengan baik.
“Jika kita tidak menguruskan perkara ini dengan teliti, ia akan menjadi satu masalah yang berpanjangan dan tidak berkesudahan,” katanya kepada media semasa operasi hari ketiga pemburuan buaya di pangkalan lama Feri Muara Tuang di sini, semalam.
Menurut Idris, beberapa cadangan mengena pengurusan populasi buaya itu akan disampaikan kepada Kerajaan Sarawak dengan mendapatkan maklum balas daripada semua pihak yang terlibat di sekitar kawasan Muara Tuang.
Beliau berkata, cadangan tersebut termasuk mewujudkan satu industri kulit dan daging buaya seperti yang dilaksanakan di Beaufort, Sabah, Filipina dan Australia. Idris mendedahkan, buaya yang telah dibunuh dalam operasi pemburuan akan dibuang dan ditanam di hulu sungai mengikut prosedur yang telah ditetapkan.
“Ia tidak dapat diproses untuk dijadikan produk baharu kerana ia memerlukan kepakaran, teknologi dan kemahiran seperti yang ada di Beaufort Sabah, Australia dan Filipina.
“Sekiranya kulit buaya yang telah dibunuh itu tidak diproses dengan betul, ia akan menjadi busuk dan tidak dapat dipasarkan sebagai produk lain,” ujarnya lagi.
Beliau turut menjelaskan kulit buaya yang telah diproses boleh mencecah puluhan ribu ringgit per kilogram untuk dijadikan aksesori seperti beg tangan, kasut dan sebagainya.
Manakala untuk daging pula, Idris mendedahkan hanya buaya yang masih muda, tiada jangkitan penyakit dan cukup jagaan dengan panduan oleh veterinar sahaja boleh diproses sebagai makanan.
Sementara itu, beliau yang juga Penaung kepada Samarahan Crocodile Hunter (SCH) berharap agar pasukan tersebut dapat diserapkan dalam satu badan bertauliah mengikut undang-undang.
“Dengan itu, mereka akan mempunyai lesen dan permit sepenuhnya daripada Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) serta menjadi badan yang membimbing nelayan darat untuk menjadi penternak buaya.
Pada 19 Januari, SHC telah berjaya menangkap dua ekor buaya berukuran 10 kaki di sungai berkenaan menggunakan umpan pada hari kedua operasi pemburuan buaya.
Operasi berkenaan dilakukan selepas dua penduduk Kampung Meranek menjadi mangsa buaya pada 14 Disember dan 12 Januari lalu.