ASAJAYA: Pasukan X-SPT FC kekal di tangga teratas Liga Bola Sepak Veteran Samarahan 2022 selepas mencatat keputusan seri (0-0) menentang pasukan BNG di padang Sambir, semalam.
Kedua-dua pasukan tampak mempamerkan aksi seimbang tanpa jaringan pada babak pertama, biarpun terdapat beberapa percubaan untuk menjaringkan gol.
Babak pertama menyaksikan pertahanan BNG tampil cemerlang dengan menggagalkan beberapa asakan daripada bahagian serangan pasukan pelawat.

Gandingan duo penyerang X-SPT, Ismadi Bujang dan Iwan Kurniawan Ahmadi jelas memberi tekanan buat pasukan lawan, namun masih gagal diterjemah dalam mencari gol sepanjang perlawanan.
Pengurus pasukan X-SPT, Musa @ Tuwet Hamid mengakui, kegagalan beberapa tonggak utama pasukan bermain sepenuh masa susulan kecederaan tidak mempengaruhi aksi perlawanan.
“Pemain-pemain yang diberi tanggungjawab bermain sepanjang perlawanan layak diberikan kredit kerana berjaya mengatasi salah satu pasukan berpengalaman dalam liga.
“Memang setiap pasukan mengharapkan kemenangan, namun perlu diakui perlawanan ini tidak mudah dan kita dapat menghadapinya dengan baik,” katanya kepada Arena Suara Sarawak.
X-SPT kekal di tangga teratas liga sambil berkongsi mata bersama pasukan ABOK81 iaitu masing-masing tujuh mata secara keseluruhan.