Yakin Muhyiddin utamakan Sarawak

KUCHING: Pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri akan membawa impak dan berita baik kepada rakyat Sarawak.

Pengerusi Bersatu Sarawak Jaziri Alkaf Abdillah Suffian berkata, beliau yakin Muhyiddin akan memberikan tumpuan utama kepada Sarawak.

“Sudah tiba masanya Sarawak memainkan peranan penting dalam soal pembangunan negara bangsa selain turut menerima limpahan ekonomi dan sosial lebih baik di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, Bersatu Sarawak menyokong penuh pelantikan Muhyiddin, yang juga presiden parti itu sebagai Perdana Menteri kelapan menggantikan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Katanya, sudah tiba masanya Muhyiddin dipilih sebagai Perdana Menteri, sekali gus menyelesaikan kemelut politik negara yang berlanjutan selama seminggu.

“Pelantikan beliau ini memang tepat pada masanya kerana kewibawaan dan pengalaman Tan Sri Muhyiddin dalam politik telah cukup matang dan beliau adalah orang paling sesuai menggantikan Tun Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri,” katanya.

GPS menjadi entiti politik Sarawak yang menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kelapan tanpa menyertai Perikatan Nasional.

Ketua Menteri yang juga Pengerusi GPS Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, pendirian itu demi kepentingan negara dan menyelamatkan Malaysia daripada ketidakstabilan politik tanpa mengorbankan kepentingan Sarawak.

Bagaimanapun jelasnya, GPS bukan ahli Perikatan Nasional tetapi hanya menjadi parti politik yang mesra kepada Perikatan Nasional.

Suara Sarawak