KUCHING: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan impian untuk memandu menelusuri Lebuh Raya Pan Borneo di Sarawak dan Sabah.
Seri Paduka bertitah ia khusus untuk baginda mengenali dengan lebih rapat lagi rakyat di pedalaman Bumi Kenyalang dan Negeri di Bawah Bayu.
“Program kembara ini sedang dirangka oleh Istana Negara dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak,” titah Al-Sultan Abdullah dalam Titah Diraja sempena Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Parlimen Ke-15, hari ini.
Al-Sultan Abdullah juga bertitah amat sukacita dengan prestasi pelaksanaan projek fasa 1 Lebuh Raya Pan Borneo di Sabah dan Sarawak yang telah dimulakan pada tahun 2015 dan dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2024.
Justeru, Al-Sultan Abdullah bertitah kerajaan hendaklah meneruskan projek-projek infrastruktur pengangkutan awam berimpak tinggi bagi meningkatkan ketersambungan dan kemudahsampaian di samping menjana kesan pengganda yang positif terhadap pertumbuhan ekonomi.
“Penyediaan perkhidmatan pengangkutan awam bertaraf dunia dan lestari terhadap alam sekitar akan terus diberikan fokus.
“Usaha tersebut dapat direalisasikan melalui pengangkutan yang optimum serta meningkatkan kesedaran rakyat untuk beralih kepada penggunaan pengangkutan yang
bercirikan cekap tenaga dan rendah karbon,” titah Seri Paduka.
Dalam pada itu, Seri Paduka bertitah kerajaan telah mengambil tindakan segera dalam menyelesaikan isu-isu berhubung tuntutan Kerajaan Sabah dan Sarawak mengenai pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Ia termasuk pemindahan kuasa kawal selia bekalan gas kepada Kerajaan Sabah, mengiktiraf Jabatan Kerja Raya Sabah dan Sarawak sebagai Jabatan Teknik, menambah baik tahap pemberian khas kepada Sabah dan Sarawak.
Pada masa sama, Al-Sultan Abdullah bertitah usaha untuk membangun dan memperkasa ekonomi di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak akan terus digiatkan.
Selain itu, Seri Paduka bertitah bagi memperkasa pentadbiran undang-undang, pembangunan Kompleks Mahkamah di Sabah dan Sarawak juga wajar diberikan perhatian.