Yang tinggal adalah terbaik – Len Talif

SARIKEI: Kekalahan Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU 14) lalu membawa hikmah besar dalam senario politik khususnya di N.41 Kuala Rajang.

Ketua Cawangan PBB N.41 Kuala Rajang, Datu Len Talif Salleh berkata, kekalahan itu membuka minda rakyat terhadap suasana sebenar apa yang berlaku dalam politik negara ini.

Malah katanya, ia juga mendedahkan siapa kawan, siapa lawan dan siapa sebenarnya musuh dalam selimut.

“Dalam tempoh 22 bulan itu, kita lihat ada yang berpaling tadah dan keluar parti. Apa pun kita tidak dapat menghalang kerana itu pilihan mereka. Di kawasan DUN N.41 Kuala Rajang khasnya, kita dapat melihatnya dengan sangat jelas.

“Sudah pasti, kita juga tahu siapa yang betul -betul setia dan berjuang untuk parti. Bagi saya ini satu kelebihan terbesar buat kita (PBB), kerana barisan yang tertinggal adalah yang terbaik,” katanya kepada media di sini, semalam.

ADUN N.41 Kuala Rajang itu berkata, tumbangnya BN melahirkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang merupakan parti tunggal anak Sarawak.

Malah katanya, rakyat dapat melihat betapa kentalnya GPS yang menggunakan acuannya sendiri untuk meneruskan perjuangan membangunkan Sarawak.

“GPS juga melaksanakan banyak projek untuk rakyat yang ditarik balik oleh Kerajaan Persekutuan di bawah pentadbiran PH. Jika kita tidak kalah dulu, kita tidak akan dapat melihat seperti apa yang berlaku pada hari ini,” katanya.

Beliau optimis rakyat akan mengambil iktibar dengan tidak lagi memilih kerajaan yang salah sekaligus mengulangi kesilapan yang serupa.

Ujarnya, rakyat Sarawak beruntung kerana mempunyai mempunyai GPS yang benar-benar berjuang membela nasib mereka.

“Hari ini, politik Sarawak berdepan dengan pelbagai cabaran termasuk kewujudan Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan lain -lain lagi. Kita terima hakikat itu dengan hati terbuka malah sedia bersaing secara sihat.

“Gabungan kita Perikatan Nasional (PN) juga memberi manfaat besar kepada GPS terutama dalam usahanya untuk terus menyalurkan pembangunan kepada rakyat,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan beliau menasihatkan pemimpin masyarakat supaya menerima teguran dengan fikiran terbuka.

Bagaimanapun katanya, sebagai pemimpin mereka perlu berani menegur jika kritikan itu dibuat melalui saluran yang salah dan berbau hasutan untuk memecah belahkan masyarakat.

“Pemimpin datang silih berganti, begitu juga dengan saya yang tidak tahu sama ada saya akan dipilih semula bertanding atau sebaliknya.

“Apa yang paling penting, kita sayang parti PBB dan GPS. Justeru dalam keadaan apa sekali pun, kita mesti bersatu mempertahankannya,” ujarnya.