Yang usang bertukar baharu

SARIKEI: Penduduk kampung Jalan Drahman Kria menarik nafas lega apabila kotak pembentung awam di kawasan itu dibina semula oleh kerajaan.

Sebelum ini, pembentung terbabit kerap menjadi isu kerana keadaan yang terlalu usang. Susulan itu Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datu Len Talif Salleh menyalurkan peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) untuk membina semula pembentung terbabit.

“Usaha ini membuktikan kerajaan sentiasa mendengar keluhan rakyat. Saya yakin apa yang kita lakukan ini bakal memberi manfaat besar kepada penduduk dalam tempoh jangka panjang,” katanya kepada wartawan.

Beliau yang juga Adun Kuala Rajang berkata, pelaksanaan projek itu terpaksa ditangguhkan sementara berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bagaimanapun katanya, projek kini diteruskan semula dan setakat ini hampir 70 peratus selesai. “Kita menjangkakan projek ini selesai sepenuhnya penghujung bulan Ogos atau September depan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Len Talif juga menggesa kerjasama semua pihak agar pelaksanaan projek rakyat di kawasan Kuala Rajang berjalan lancar dan siap mengikut jadual.