Yayasan Jantung Sarawak sumbang mesin pemeriksaan canggih

KUCHING: Pusat Jantung Sarawak menerima sumbangan berbentuk sebuah mesin canggih iaitu mesin pemeriksaan arteri koronari dikenali sebagai Wire-free Fractional flow Reserve System (CFFR).

Adun Tanjong Datu, Datuk Amar Jamilah Anu berkata, mesin sumbangan Yayasan Jantung Sarawak itu sebagai tanda sokongan kepada pesakit jantung di negeri ini.

“Ia ialah sebuah mesin yang diguna untuk memeriksa tahap sekatan di dalam arteri koronari di tubuh pesakit yang bernilai RM199,800. “Kita mahu memastikan pesakit mendapat kemudahan yang diperlukan,”ujarnya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Mesin CFFR oleh Yayasan Jantung Sarawak kepada Pusat Jantung Sarawak di sini, semalam. Menurutnya, mesin CFFR dapat digunakan untuk lebih 400 pesakit dan berfungsi mengesan masalah sekatan darah dengan cepat berbanding penggunaan mesin konvensional yang mempunyai wayar.

“Mesin ini dapat memberi bacaan dalam masa yang singkat dan sangat membantu kita untuk mempercepatkan saluran maklumat yang diperlukan berkaitan risiko pesakit jantung. “Kita sangat berharap agar kemudahan seperti ini dapat dimanfaatkan sebaiknya,” katanya lagi.

Kata Jamilah, pihaknya juga telah memperluaskan jangkauan bantuan kepada komuniti luar bandar terutamanya dalam kalangan masyarakat Penan dan Kayan di Miri. “Pelbagai program dilaksanakan dengan sokongan Pejabat Daerah Telang Usan dan agensi lain dalam menyebarkan maklumat berkaitan penjagaan jantung pada tahun lalu.

“Kita akan meneruskan program seperti itu dengan menjangkaui komuniti di Bario, Engkilili dan juga Tebedu untuk misi yang sama,” jelasnya lagi.

Beliau berhara masyarakat tidak mengambil remeh akan hal kesihatan jantung masingmasing dan menggesa semua untuk saling mengutamakan pemakanan dan gaya hidup yang sihat.

Suara Sarawak