YB Huang santuni rakyat raikan ibadah korban

SARIKEI: Rakyat Sarawak perlu mempertahankan perpaduan dan mengelak terlibat dengan sebarang unsur yang mencetus perpecahan.

Adun Repok Datuk Sri Huang Tiong Sii berkata, Sarawak kekal unik melalui semangat kerjasama dan konsep toleransi yang wujud dalam kalangan penduduknya.

Katanya, sambutan Aildiladha mampu menjadi platform untuk merapatkan lagi hubungan sedia ada. “Pertahankannya kerana perpaduan merupakan kerangka kestabilan politik dan pembangunan negeri ini.

“Sambutan perayaan memberi memberi peluang kepada kita untuk lebih memahami dan saling menghormati antara satu sama lain,” katanya pada Majlis Korban Perdana Peringkat Bahagian Sarikei, kelmarin.

Beliau berkata, walaupun tradisi perayaan itu tidak dapat dilakukan seperti biasa berikutan Covid-19, namun ia bukan halangan untuk disambut dalam suasana harmoni.

Setiap individu katanya, perlu mematuhi SOP dengan meraikannya dengan suasana serba baharu, cara baharu dan di luar kebiasaan.

“Ia merupakan tanggungjawab sosial yang harus dipenuhi setiap lapisan masyarakat. Dengan kerjasama orang ramai, kita boleh mengelak sebarang penularan Covid-19 ketika musim perayaan,” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Sarawak terus memperkasakan pembangunan di Sarikei dalam pelbagai aspek. Ujarnya, pelbagai projek yang berimpak tinggi yang dilaksanakan Kerajaan Sarawak pasti memberi manfaat kepada rakyat Sarikei dalam tempoh jangka panjang.

“Antaranya pembinaan jalan Sarikei-Tanjung Manis, Pusat Pentadbiran Bersepadu dan pelbagai projek lain berimpak tinggi untuk manfaat kira-kira 60,000 penduduk Sarikei.

“Sebanyak 77 projek bernilai RM772 juta diluluskan untuk Bahagian Sarikei di bawah Rancangan Malaysia Ke-11. Ia termasuklah jalan raya, jambatan, elektrik dan bekalan air. Ini termasuklah projek agro pertanian.

“Saya mewakili rakyat Sarikei ingin mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg,” ujarnya.

Suara Sarawak