
KOTA SAMARAHAN: Yayasan Bank Rakyat (YBR) membiayai kira-kira RM176 juta dalam program pinjaman Boleh Ubah Pendidikan bagi membantu pelajar kurang berkemampuan.
Pengerusi YBR Datuk Wira Megat Zulkarnain Tan Sri Omardin berkata, walaupun menelan jumlah yang agak besar tetapi ia merupakan fokus mereka dalam memastikan pelajar layak berupaya mengubah kehidupan pada masa depan.
“Ini adalah satu daripada sumbangan kita dalam membina negara bangsa serta melahirkan anak-anak yang boleh bersaing dan menjadi aset kepada negara,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Bantuan Awal Pengajian 2022 di Perpustakaan Tun Abdul Razal, Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) Cawangan Sarawak, Kota Samarahan II hari ini.
Megat berkata di bawah program itu, YBR telah menerima 4,400 permohonan dalam tempoh sebulan iaitu bermula pada 15 Febuari hingga 15 Mac.
Katanya daripada jumlah tersebut, sebanyak 125 permohonan diluluskan dan selebihnya akan disaring semula.
“YBR adalah satu-satunya agensi yang membuka awal permohonan (Febuari lepas) untuk melihat bagaimana permohonan yang diterima,” katanya sambil menambah mereka akan membuka sekali lagi permohonan pada Julai nanti.