Yusuf doa pelajar SPM 2021 di Tanjung Manis raih kejayaan cemerlang

SEMOP: Ahli Parlimen P 206 Tanjung Manis, Ir Yusuf Abd Wahab amat mengambil berat perkembangan pendidikan generasi muda di kawasan beliau.

Keprihatinannya terhadap masa depan pelajar di Tanjung Manis itu terserlah apabila beliau tampil menghulurkan sumbangan peralatan keselamatan cegah Covid-19 dan makanan kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Sumbangan pelitup muka dan cecair basmi kuman dihulurkan untuk pelajar, guru dan kakitangan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Belawai, SMK Semop dan SMK Sarikei.

Selain calon SPM, pemberian itu juga untuk semua murid dan pelajar yang bakal memulakan sesi persekolahan pada Mac depan.

“Saya berharap semua pelajar yang menduduki peperiksaan SPM khususnya di kawasan Parlimen Tanjung Manis akan dipermudahkan urusan dan diberi ketenangan fikiran untuk menjawab semua soalan dengan cemerlang,” katanya.

Beliau berkata, setiap pelajar perlu memanfaatkan peluang belajar bersungguh-sungguh demi masa depan yang lebih terjamin.

Malah katanya, bidang pendidikan adalah pelaburan terbesar kerajaan dalam usaha melahirkan generasi berilmu dan modal insan yang berkualiti.

“Saya sentiasa mendoakan yang terbaik untuk semua pelajar di Parlimen Tanjung Manis. Harapan saya agar mereka menggunakan peluang keemasan di sekolah dengan sepenuhnya di samping menghindar diri daripada terjebak dalam aktiviti yang tidak bermanfaat,” ujarnya.