ARTIKEL

Anwar Ibrahim (kiri) mendengar perkongsian pengalaman Syeikh Yusuf Islam @ Cat Stevens (kanan) dalam perjalanan memeluk agama Islam pada Majlis Ilmu MADANI di Kompleks Seri Perdana Putrajaya semalam.

Yusuf Islam tampil sebagai penceramah jemputan pada Majlis Syarahan MADANI

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

PUTRAJAYA: Pemuzik tersohor British, Yusuf Islam, yang sebelum ini dikenali sebagai Cat Stevens, semalam membuat penampilan istimewa sebagai penceramah jemputan pada majlis Syarahan MADANI di Seri Perdana, kediaman rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar dalam ucapan alu-aluannya berkata Yusuf adalah seorang daie yang memperjuang keamanan dan menggunakan dakwah sebagai senjata ampuh serta bertukar-tukar pandangan dengan pelbagai pihak bagi menyampaikan mesej sebenar Islam.

“Hari ini kita amat bertuah dengan kehadiran Yusof Islam, bagi saya beliau adalah seorang individu yang hebat serta mengagumkan. 

“Beliau memiliki keberanian serta komited melaksanakan tanggungjawabnya dengan begitu gigih.

Sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini, semasa dunia dilanda malapetaka yang tragik, beliau masih menyampaikan mesej yang amat positif dek kerana komitmennya yang begitu utuh terhadap Islam,” kata Anwar.
 
Beliau berkata tradisi majlis Syarahan MADANI ini akan diteruskan dengan penceramah jemputan bukan sahaja dari dalam tetapi juga luar negara.

Sementara itu, dalam ceramahnya, Yusuf menceritakan perjalanan hidupnya ketika mencari ilmu tentang Islam bagi mendalami ajaran serta prinsip-prinsip agama suci ini. 

Turut dikongsi bagaimana Yusuf terpaksa bergelut menepis prejudis dan sikap berat sebelah masyarakat sekeliling yang akhirnya membawa beliau mencari ketenangan serta bimbingan daripada ayat-ayat suci al-Quran.

Di sebalik cabaran yang terpaksa dihadapi dalam komuniti Islam, beliau menegaskan bahawa prinsip-prinsip Islam kekal relevan sepanjang zaman terutama dalam aspek melindungi hak asasi manusia dan menjaga bumi. – BERNAMA

BERITA LAIN

BERITA TERBARU