ARTIKEL

Zahid (kiri), yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, bersalaman dengan Li Qiang ketika mengadakan Kunjungan Hormat ke atas Perdana Menteri China itu di Diaoyutai State Guesthouse hari ini.

Zahid lakukan kunjungan hormat ke atas PM China, Li Qiang

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BEIJING, China: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, hari ini mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri China, Li Qiang, di Vila 12, Rumah Tamu Negara Diaoyutai di sini.

Ketibaan Zahid, yang diiringi Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin, dan Duta Besar Malaysia ke China, Datuk Norman Muhamad, pada jam kira-kira 4 petang itu disambut oleh Qiang.

Kunjungan tersebut bersempena lawatan rasmi pertama Zahid ke republik itu sejak memegang jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri pada Disember 2022, dan ia adalah atas jemputan Timbalan Perdana Menteri China, Ding Xuexiang.

Semasa ucapan alu-aluan, kedua-dua pihak menyatakan kesediaan untuk terus mengukuhkan hubungan dua hala Malaysia dan China yang terjalin sejak 31 Mei 1974.

“Saya berada di sini untuk mewakili Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan negara kita untuk membincangkan tentang cara ke hadapan bagi mengukuhkan hubungan antara kerajaan (G2G) kedua-dua negara, perniagaan kepada perniagaan (B2B) dan rakyat dengan rakyat (P2P),” katanya.

Zahid juga berkata hubungan diplomatik Malaysia dan China tidak boleh diganggu gugat atau dirosakkan oleh pengaruh luar, dan memastikan hubungan antara rakyat dan pentadbiran di kedua-dua negara sentiasa terjamin demi generasi masa depan.

Sementara itu, Qiang berkata China akan terus membina dan mengukuhkan kerjasama China-Malaysia demi manfaat rakyat kedua-dua negara serta menyumbang kepada kemakmuran masyarakat dunia.

“Mari kita jadikan 50 tahun ini (ulang tahun hubungan diplomatik Malaysia-China) yang terbaik untuk tahun-tahun akan datang yang lebih besar melalui kepimpinan strategik oleh Presiden Xi Jinping bersama Perdana Menteri Anwar,” katanya.

Zahid kini dalam rangka lawatan rasmi ke China selama 11 hari bermula pada 22 Mei lepas hingga Sabtu ini, dan ini merupakan lawatan pertukaran pemimpin tertinggi kedua-dua negara sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China.

Semasa lawatannya di ibu negara China, Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara, dijadual mengadakan perbincangan dengan Xuexiang dan Penasihat Negara serta Menteri Keselamatan Awam, Wang Xiaohong.

Beliau juga akan menjadi tuan rumah bagi Majlis Resepsi Gala dan menghadiri Sambutan Ulang Tahun ke-50 Hubungan Diplomatik Malaysia-China yang dianjurkan bersama Persatuan Persahabatan Rakyat China dengan Negara Asing dan Kedutaan Besar Malaysia di sini.

Wisma Putra sebelum ini memaklumkan lawatan rasmi Ahmad Zahid bertujuan memperkukuh hubungan dua hala selain meneroka peluang kerjasama, terutamanya dalam bidang pendidikan TVET, pembangunan industri halal serta pertukaran antara rakyat.

Tahun lepas, jumlah dagangan dengan China bernilai RM450.84 bilion (AS$98.80 bilion), yang menyumbang 17.1 peratus daripada jumlah dagangan global Malaysia, dan pada tahun yang sama, sebanyak 64 projek perkilangan dari China telah diluluskan dengan pelaburan berjumlah RM12 bilion (AS$2.6 bilion).

China menduduki tempat kelima sebagai pelabur terbesar, dan projek-projek ini dijangka mewujudkan 9,305 pekerjaan. — BERNAMA

BERITA LAIN

Projek tebatan banjir dilaksana

KUCHING: Projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Sarawak iaitu projek tebatan banjir di beberapa lokasi di sini akhirnya dapat dilaksanakan. Setiausaha Politik Premier, Kho Teck

Siapnya Jambatan Sg. Muput Tatau

KAKUS: Jambatan baharu Sungai Muput yang siap sepenuhnya memberi manfaat kepada penduduk di kawasan Ulu Anap, Nanga Tau dan Penyarai. Menteri di Jabatan Premier Sarawak

BERITA TERBARU

Rossi berang keputusan pengadil

JURULATIH Hungary, Marco Rossi mengkritik keputusan membenarkan gol pembukaan Jerman ketika pasukannya tewas 0-2 kepada tuan rumah Euro 2024 di Stuttgart. Jamal Musiala memberikan Jerman gol

Projek tebatan banjir dilaksana

KUCHING: Projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Sarawak iaitu projek tebatan banjir di beberapa lokasi di sini akhirnya dapat dilaksanakan. Setiausaha Politik Premier, Kho Teck

Siapnya Jambatan Sg. Muput Tatau

KAKUS: Jambatan baharu Sungai Muput yang siap sepenuhnya memberi manfaat kepada penduduk di kawasan Ulu Anap, Nanga Tau dan Penyarai. Menteri di Jabatan Premier Sarawak

Pemansang asil nagih MA63

MIRI: Pemansang besai ti udah dijapai Sarawak kandang beberapa taun ke udah asil ari nagih hak di baruh Sempekat Malaysia 1963 (MA63). Kaban Kunsil Nengeri