Zaman tak cukup makan

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

KETIKA tinggal di kampung dan belajar di sekolah rendah dan menengah dahulu, saya masih ingat bagaimana sukarnya mendapat makanan apatah lagi menikmati makanan berzat atau mewah.

Sebagai anak seorang pekerja rumbia, memang sukar untuk ayah – yang kini sudah tiada – mendapat pendapatan yang dapat menyara keluarga.

Ketika itu, ayah saya juga sering berjauhan dengan kami sekeluarga kerana bekerja sebagai pembalak di kawasan lain dan tinggal di dalam hutan untuk berbulan-bulan.

Hidup di kampung pada dasawarsa 60-an dan 70-an memang susah dan getir. Makanan ruji atau utama kami ialah sagu.

Boleh dikatakan kami amat jarang makan daging, sayur dan roti.

Waktu yang anak miskin seperti saya berpeluang makan kari daging ialah ketika kematian berlaku dalam kalangan keluarga yang sedikit berada di kampung.

Sebab, biasanya orang kampung semua peringkat akan hadir pada hari pengebumian si mati.

Penduduk kampung biasanya dihidangkan dengan kari daging dan nasi bagi mereka yang mampu.

Ketika itu, saya percaya sebahagian besar penduduk adalah daripada kalangan B40 bawah.

Tidak ada yang memiliki kereta atau rumah mewah.

Hanya seorang sahaja yang lulus universiti pada tahun 1970-an di kampung kami.

Ketika ini, boleh dikatakan, hampir semua rumah sudah mempunyai anak yang lulus universiti.

Hampir semua rumah juga mempunyai kereta.

Pendidikan mengubah keadaan menyebabkan berlakunya mobiliti menegak dan mobiliti mendatar.

Bayangkan, kami jarang makan sayur, daging atau makanan yang dianggap mewah waktu itu.

Baca lain  Semangat membaca anak pedalaman

Sukar juga untuk difahami oleh generasi sekarang, bagaimana sukarnya juga untuk menikmati minuman seperti teh bergula.

Masalah malpemakanan memberi kesan negatif kepada bukan sahaja pertumbuhan fizikal, tetapi juga mental dan emosi.

Disebabkan kekurangan zat makanan atau malpemakanan, saiz badan kanak-kanak di kampung terencat.

Malah, bukan menghairankan, seperti yang saya alami, badan kami berkurap.

Menarik cacing kerawit dari dubur ialah sesuatu yang biasa.

Satu peristiwa yang tidak dapat saya lupakan sehingga kini ialah ketika suatu pagi guru mata pelajaran Pendidikan Jasmani meminta murid lelaki seluruh kelas kami membuka baju sebelum mengadakan aktiviti sukan di padang sekolah.

Saya enggan membuka baju saya.

Akhirnya, saya dihukum berlari lima pusingan di padang sambil disaksikan oleh semua rakan sekelas saya.

Ironinya ketika itu, guru terbabit tidak pula bertanya mengapa saya enggan membuka baju seperti murid-murid lain.

Sebenarnya adalah kerana seluruh badan saya berkurap.

Saya malu tak terkira, dan saya juga tidak beritahu kerana guru saya tidak bertanya.

Sepatutnya, guru berkenaan bertanya mengapa saya enggan berbuat demikian.

Makanan yang dianggap biasa oleh generasi dan kanak-kanak sekarang, adalah sesuatu yang asing bagi saya waktu kecil, termasuk kuih, roti dan telur.

Bayangkan, saya hanya diberi makan telur dipotong dua untuk dikongsi dengan abang saya hanya pada pagi peperiksaan Senior Cambridge, iaitu peperiksan awam untuk pelajar Tingkatan Lima ketika itu.

Baca lain  Ke mana Jerip, Soon Koh membawa diri?

Mengimbas kembali, saya juga sering mengantuk di dalam kelas.

Ya, bukan kerana saya malas atau tidak mahu memberi tumpuan kepada pelajaran yang disampaikan oleh guru.

Ketika itu, saya tidak mengerti mengapa saya sering mengantuk.

Sebenarnya, ada dua sebab mengapa saya mengantuk setiap pagi.

Pertama, kerana sering saya tidak menikmati sarapan pagi kerana memang makanan tidak ada.

Saya masih ingat bagaimana ada waktunya, kami makan ikan masin pekasam yang sudah berulat dengan sagu, tanpa teh sebelum turun ke sekolah.

Kedua, saya mengantuk, kerana saya berjalan kaki ke sekolah menengah yang jauhnya sekitar 5 kilometer.

Ayah saya tidak mampu membeli basikal, apatah lagi motosikal.

Anda tahu apa kesannya terhadap saya?

Saya mendapat keputusan teruk dalam peperiksaan sekolah.

Hakikatnya, yang banyak orang tidak tahu ialah, pemakanan paling penting untuk pertumbuhan fizikal dan otak.

Berdasarkan pengalaman, saya begitu sukar untuk memahami pelajaran ketika itu.

Saya percaya keadaan itu berpunca daripada keletihan dan pemakanan yang tidak cukup dan tidak berzat.

Saya hampir berada di nombor tercorot di kelas.

Tetapi nasib kita sukar diramal.

Sesuatu telah berlaku terhadap saya sehingga saya perlu bangkit, sebulan sebelum peperiksaan penting itu.

Akhirnya saya mendapat keputusan yang agak cemerlang dan dipilih ke Tingkatan Enam di Kolej Tun Tuanku Haji Bujang, Miri.

Di situ nasib saya berubah dan kedudukan saya dalam kelas juga baik.

Puncanya, saya tidak lagi perlu berjalan kaki setiap hari.

Baca lain  Berani tebang, berani pikul

Saya juga dapat menikmati makanan yang bagi saya ketika itu agak mewah.

Makanan kami sentiasa dijaga ketika di asrama – pagi, tengah hari, petang dan malam.

Justeru, saya lulus dengan agak baik dalam peperiksaan Higher School Certificate (HSC) iaitu setaraf dengan STPM sehingga akhirnya saya berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti.

Saya menulis perkara ini selepas membaca kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi beberapa hari lalu.

Beliau menyatakan masalah malpemakanan dialami kira-kira 5.6 juta kanak-kanak melibatkan murid prasekolah, sekolah rendah dan sekolah menengah rendah.

Beliau berkata isu malpemakanan itu perlu ditangani supaya generasi rakyat Malaysia yang akan datang tidak mengalami kesan isu malpemakanan seperti masalah bantut dan obesiti.

Masalah malpemakanan perlu ditangani dengan serius.

Makanan yang berzat dan mencukupi penting untuk pertumbuhan mental, otak dan emosi murid sekolah.

Hanya dengan pemakanan yang cukup dan berzat, kita akan dapat menjamin bahawa pelajar dapat mengalami pertumbuhan yang seimbang dan dapat menumpukan perhatian terhadap pelajaran di dalam kelas.

Saya harap tiada lagi murid mengalami nasib seperti yang pernah saya alami lebih 40 tahun lalu.

Kesan negatifnya tidak boleh dipandang remeh.

Justeru, murid daripada kalangan miskin dan B40 perlu dibantu, termasuk pemakanan dan kemudahan untuk pendidikan mereka.

• Dato Dr Jeniri Amir ialah penganalisis politik dan Felow Kanan Majlis Profesor Negara.

e-Akhbar Suara Sarawak

Berkaitan

Kekurangan guru

BERITA yang menyatakan bahawa Sarawak kekurangan sekitar 3,000 guru tentu

KWSP talian hayat

BAGI pekerja swasta, sebahagian penjawat awam dan mereka yang bekerja

Raya pilihan raya

KITA masih lagi meraikan rumah terbuka Aidilftri. Rumah Terbuka Aidilfitri

Lain-lain

Awasi jerat penipu

SEKITAR awal pagi Selasa lepas, saya menerima panggilan daripada seseorang.