KUCHING: Kejutan luar jangkaan dipamer pelari jarak jauh tempatan, Mohd. Zharif Asyraf Ismail, 28, pada acara Route 68 Ultra Marathon 2023.
Anak jati kelahiran Kampung Iboi Ulu, Sadong Jaya berjaya menamatkan larian sejauh 168 kilometer (km) kategori lelaki terbuka dengan catatan masa terpantas 21 jam, 59 minit dan 39 saat.
“Cukup gembira dengan kejayaan yang diperoleh. Walaupun sekadar menduduki tempat kedua secara keseluruhan, namun ini pencapaian yang cukup hebat bagi diri saya,” ujar Zharif kepada Arena Suara Sarawak.
Zharif akui tidak menjangka dapat melakukan yang terbaik pada perlumbaan yang membabitkan kawasan Gombak-Bentong itu, baru-baru ini.
Dalam keadaan saingan tersebut yang turut disertai 58 pelumba termasuk dari beberapa negara luar.
“Saya pernah bersaing dalam kategori sama pada tahun 2019 tetapi gagal menamatkan perlumbaan ekoran dibelenggu kecederaan.
“Selepas mempersiapkan diri dengan latihan penuh selama enam bulan, akhirnya saya berjaya muncul selaku naib juara pada edisi kali ini,” tambah Zharif lagi.
Sambil itu, beliau juga mahu menjadikan kejayaan yang dikecapi ini sebagai penanda aras untuk dirinya meneruskan kecemerlangan pada perlumbaan lain yang akan disertai selepas ini.
“Fokus saya selepas ini mahu terlibat dalam kategori berbeza iaitu 200 kilometer.
Saya yakin dapat mengharungi cabaran itu kelak,” jelas Zharif.