ARTIKEL

Ziana Zain giat bersenam di gimnasium, persiap diri untuk konsert solo bulan depan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Melewati tempoh lebih dua dekad menanti peluang menjayakan konsert meganya sendiri, penyanyi bersuara lantang Ziana Zain mahu memastikan beliau mampu memberikan yang terbaik apabila impiannya itu bakal menjadi kenyataan bulan depan. 

Konsert yang bakal dipentaskan di Mega Star Arena di sini pada 25 Mei ini begitu bermakna kepada pelantun Madah Berhelah itu, sebagai hadiah buat peminat yang sekian lama menanti persembahannya di pentas besar.

Malah, konsert itu juga sebagai lambang perjuangan pemilik nama sebenar Siti Roziana Zain itu yang menempuh pelbagai ranjau sepanjang 33 tahun dalam industri hiburan tanah air, selain kenangan terindah buat dirinya yang bakal menginjak usia 56 tahun pada bulan sama berlangsungnya konsert.

Maka tidak menghairankanlah apabila penerima trofi Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Paling Popular BH (ABPBH) 1995 itu, yang juga mesra dengan panggilan Kak Gee, kini gigih mempersiapkan diri dengan aktif bersenam di gimnasium sejak dua bulan lepas. 

Kakak kepada penyanyi lelaki popular tanah air Anuar Zain itu berkata latihan kecergasan fizikal adalah bagi meningkatkan stamina dan kesihatan, untuk memastikan beliau dapat memberikan yang terbaik selepas kali terakhir menjayakan konsert solo pada 2001.

“Dulu Kak Gee aktif ke gimnasium tapi berhenti sebab tiada masa. Sekarang Kak Gee dah kembali ke gimnasium dan turut dapatkan nasihat daripada jurulatih yang bertauliah bagi memastikan bentuk dan postur semasa melakukan senaman adalah betul dan sesuai dengan umur yang nak ke 56 tahun. 
“Antara senaman yang Kak Gee lakukan ialah mengangkat dumbel secara berperingkat, latihan kardio dan ini penting bagi menguatkan otot serta mengekalkan bentuk badan. Kerjaya Kak Gee sebagai penyanyi perlu sentiasa jaga penampilan dan stamina untuk persembahan,” katanya ketika ditemui media selepas program bersama peminat baru-baru ini. 

Pelakon utama (bergandingan dengan Awie dan Erra Fazira) filem pecah panggung Sembilu itu, turut berhasrat untuk muncul dengan single terbaharu tahun ini setelah dihujani permintaan peminat.

“Kak Gee dah teruja nak keluarkan single baharu selepas berjaya berduet dengan penyanyi Hasif Upin menerusi lagu Waktu pada tahun lepas dan konsert bersama dengan Anuar pada 2022.

“Tetapi, Kak Gee tak naklah terburu-buru, tak nak asal dapat saja. Biarlah yang betul-betul, cipta lagu yang sesuai dengan Kak Gee,” katanya sambil menambah keutamaannya sekarang adalah pada keluarga, namun tidak menolak sekiranya bertemu jodoh yang sesuai. 

Ziana sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan Armin Zaharin Ahmad Zambri pada 9 Mei 1998, namun pasangan itu berpisah pada 12 Julai 2018 dan mereka dikurniakan tiga anak lelaki serta seorang perempuan.
– Bernama

BERITA LAIN

Lelaki dipenjara menyamar ahli BTS

LELAKI yang dikenali sebagai A dijatuhkan hukuman penjara kerana menyamar sebagai ahli BTS untuk memperoleh lagu yang belum dikeluarkan BTS. Memetik media antarabangsa, mahkamah mengekalkan

Harapan Bujang Sarawak ke AJL

LAGU Bujang Sarawak yang dinyanyikan oleh Baby Shima semakin mengukuhkan kedudukan di Muzik-Muzik 39. Kali ini Bujang Sarawak mendapat tempat ketiga dalam undian Muzik-Muzik 39.

BERITA TERBARU