Ziarah raya kini hanya pada 1 Syawal sahaja

KUCHING: Garis panduan (SOP) bagi tempoh ziarah raya di Sarawak dipinda kepada satu hari sahaja iaitu pada 1 syawal.

Majlis Islam Sarawak (MIS) berkata kebenaran juga hanya bagi zon Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) untuk keluarga terdekat sahaja.

“Had pengunjung (keluarga terdekat) dalam satu masa adalah 50 peratus kapasiti mengikut saiz rumah dengan penjarakan fizikal,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selain itu, aktiviti yang tidak dibenarkan adalah jamuan selepas solat Aidilfitri di masjid atau surau, aktiviti takbir dari rumah ke rumah, rumah terbuka dan tahlil selepas solat Aidilfitri di masjid atau surau.

Manakala di zon PKPD, semua aktiviti sambutan Hari Raya Aidilfitri adalah tidak dibenarkan.

Sementara, aktiviti yang dibenarkan adalah takbir Hari Raya di masjid dan surau selepas solat Maghrib 1 syawal (malam) dan tidak melebihi jam 10 malam, serta selepas solat Subuh 1 syawal (pagi) sehingga solat sunat Aidilfitri.

Pada masa sama, solat sunat Aidilfitri dibenarkan di masjid, surau, Musolla dan premis yang mendapat kebenaran MIS sahaja.

SOP terperinci boleh didapati di dalam laman rasmi MIS (http://www.mis.sarawak.gov.my)

Suara Sarawak