ARTIKEL

Zii Jia mahu segera sesuaikan diri dengan corak latihan Tet Meng

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki utama negara Lee Zii Jia berharap dapat menyesuaikan diri secepat mungkin dengan corak latihan yang diterapkan jurulatih baharunya Wong Tat Meng.

Atlet berusia 25 tahun itu berkata ia penting memandangkan masa semakin suntuk untuknya membuat persiapan bagi melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Juara All England 2021 itu turut berharap mampu membina keserasian yang istimewa dengan jurulatih berpengalaman tersebut.

“Kita juga ada maklum, dia pernah pergi Korea Selatan dan Hong Kong baru-baru ini (sebagai jurulatih) dan dia ada hasil yang sangat bagus,” katanya menerusi video yang dimuat naik di Instagram semalam.

Selain itu, Zii Jia yang merupakan pemain profesional turut menyimpan aspirasi agar beliau dan Tat Meng dapat berjuang bersama untuk kejayaan di Olimpik demi Malaysia.

“Dia jurulatih tempatan, saya memang berharap ada satu jurulatih tempatan, sebagai rakyat Malaysia kita boleh berjuang (untuk) Olimpik bersama, sebagai orang Malaysia,” katanya. 

Zii Jia yang kini berada di tangga ke-17 dunia telah memulakan latihan bersama Tat Meng awal bulan ini. 

Sebelum ini, pemain kelahiran Kedah itu dilaporkan mengambil keputusan untuk berehat seketika daripada menyertai kejohanan bagi mendapatkan semula motivasi, susulan prestasi mengecewakan kebelakangan ini.  

Beliau mengumumkan perkara itu usai Terbuka Indonesia bulan lepas yang menyaksikannya tewas seawal pusingan pertama selepas turut tersingkir di pusingan pertama Terbuka Singapura minggu sebelumnya.

Zii Jia yang disenaraikan dalam program Road to Gold (RTG), iaitu satu inisiatif negara memburu emas sulung di temasya berprestij itu, akan kembali beraksi dalam Terbuka Korea di Yeosu yang akan berlangsung pada 18-23 Julai ini. – BERNAMA

BERITA LAIN

Zii Jia sertai skuad negara ke Piala Thomas 2024

KUALA LUMPUR: Persoalan mengenai penyertaan pemain profesional negara, Lee Zii Jia, dalam skuad Piala Thomas 2024 terjawab hari ini apabila namanya diumumkan dalam barisan pemain

BERITA TERBARU