Zon Tiong Hua bakal di PKPD

SIBU: Penyelaras Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu (JPBBS) Dr Annuar Rapaee tidak menolak kemungkinan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dikenakan di Zon 7 Tiong Hua jika terdapat banyak kes positif Covid-19 dikesan.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai keputusan calitan membabitkan satu lagi zon merah di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Sibu (MPS) yang selesai dilaksanakan semalam (Ahad), bermula Sabtu.

Terdahulu, Dr Annuar menyerahkan 300 peket susu tepung yang disumbangkan oleh SUPP Cawangan Dudong dalam satu majlis yang diadakan di Perpustakaan Awam Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) di Sibu Jaya.

Hadir sama ialah Pengerusi MDLBS Kaunselor Sempurai Petrus Ngelai dan Pengerusi SUPP Cawangan Dudong Kaunselor Wong Ching Yong.

Menteri Muda Kerajaan Tempatan dan Perumahan itu memberitahu bahawa keputusan calitan dari Zon 7 Tiong Hua dijangka akan diketahui dalam satu atau dua hari lagi.

Beliau berkata bahawa Zon 15 Sentosa juga telah diawasi dengan ketat kerana jumlah kes positif COVID-19 di sana amat tinggi.

Dr Annuar, bagaimanapun, melihat trend jangkitan COVID-19 di Zon 7 Tiong Hua dan Zon 15 Sentosa berbeza dari Sibu Jaya.

“Itulah sebabnya, kami melaksanakan pengesanan secara Aktif (ACD) yang disasarkan di zon-zon ini untuk mengenalpasti penyebaran wabak itu,” kata Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi merangkap Adun Nangka itu.

Suara Sarawak