ARTIKEL

Ahsmon bercakap pada sidang media Ops Lejang, hari ini. | Foto: Ghazali Bujang

10 lokasi panas dikenal pasti jadi sasaran sindiket curi kenderaan di Kuching – Ahsmon

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sepuluh lokasi panas yang menjadi sasaran sindiket curi kenderaan telah dikenal pasti di sekitar Bandar Raya Kuching setakat ini.

Perkara itu didedahkan oleh Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah sambil menambah, ia menjadikan Kuching daerah dengan kadar kecurian kenderaan paling tinggi di Sarawak.

“Antara kawasan itu adalah Samariang, Demak Laut, Metrocity, Tabuan Height, Taman Satria Jaya, BDC, Stampin, King Centre, Hospital Umum Sarawak (HUS), Jalan Petanak, Tebingan Sungai Sarawak, Majma Mall, Jalan Abell, Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce, Farley Kuching dan Jalan Rock,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Op Bersepadu Pencegahan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching di pekarangan Padang Kawad IPD Kuching di sini, petang tadi.

Tambah Ahsmon, sebanyak 926 kenderaan terdiri daripada 710 motosikal dan 216 kenderaan pelbagai jenis dilaporkan hilang di Kuching membabitkan kerugian berjumlah RM6,036,945 dari 2021 hingga Mac lepas.

Malah katanya, sebanyak 15 sindiket yang terlibat dalam kes kecurian kenderaan telah ditumpaskan selain menahan seramai 329 suspek.

IPD Kuching juga, kata Ahsmon, berjaya menemui semula sebanyak 200 motosikal dan 118 kenderaan daripada sindiket berkenaan dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM3,279,450.

“Kami juga telah menubuhkan pasukan Counter Aggresive Team (CAT) bagi membanteras sindiket-sindiket ini daripada semakin berleluasa.

“Secara keseluruhan, IPD Kuching berjaya mendapatkan semula sebanyak 340 kenderaan dari 2021 hingga Mac tahun ini, 74 kenderaan pada 2021, 101 kenderaan pada 2022, 135 kenderaan pada 2023, dan 30 kenderaan setakat Mac tahun ini.

“Berdasarkan kajian, kami mendapati sekurang-kurangnya 35 kes melibatkan kenderaan curi diletakkan di kediaman suspek. Anehnya, mereka menggunakan kenderaan itu setiap hari untuk berulang-alik ke tempat kerja,” katanya.

Pada masa sama, katanya, semasa hari terakhir Op Bersepadu Pencegahan Jenayah IPD Kuching, Ops Lejang semalam berjaya menemukan semula tujuh kenderaan yang dilaporkan hilang sebelum ini.

Beliau juga menasihatkan pemilik kenderaan dan masyarakat di luar agar berhati-hati dan menyalurkan maklumat kepada pihak polis.

BERITA LAIN

RUAI

SUKAN

BERITA TERBARU

RUAI

SUKAN