BINTULU: Sebanyak 15 pusat pemindahan sementara (PPS) di beberapa daerah di Sarawak ditutup sepenuhnya hari ini susulan keadaan banjir yang semakin pulih dan terkawal.
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, penutupan PPS itu melibatkan daerah Simunjan, Siburan, Serian, Samarahan dan Dalat secara berperingkat bermula jam 9 pagi hingga 3 petang.
Di daerah Simunjan, PPS Dewan Mesra Simunjan ditutup pada jam 9 pagi, manakala Dewan Masyarakat Gedong pula ditutup pada jam 12 tengah hari.
Sementara itu, tujuh PPS di sekitar Siburan termasuk Dewan Serbaguna Taman Duranda Emas, Batu Gong Baru, Kampung Kerumboi, Kampung Mundai, SK St. Peter Simpok serta Balai Raya Kampung Reteh Mawang ditutup serentak pada jam 2 petang.
Langkah penutupan itu turut melibatkan Depo Balai Ringin di Serian dan Balai Raya Ensebang Padang Bilon pada jam 2 petang.
Di Samarahan pula, PPS Balai Raya Kampung Nangka, Dewan Lenggai Kampung Entingan dan SK Endap ditutup pada jam 1 petang, manakala Dewan Suarah Kota Samarahan ditutup lebih awal iaitu pada jam 11 pagi.
Bagi kawasan Dalat, PPS terakhir yang ditutup ialah Rumah James, Sebaya Atas Sungai Baoh Burak pada jam 3 petang.
JBPM Sarawak memaklumkan penutupan tersebut dibuat setelah penilaian mendapati keadaan cuaca bertambah baik dan mangsa dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing dengan selamat.

