KUCHING: Sebanyak 16 pasukan akan berentap sekali gus memburu gelaran juara pada Kejohanan Bola Sepak Veteran Piala All Ways 2023.
Pengurus Kejohanan, Adzlan Adenan memberitahu, himpunan pasukan yang turut serta mewakili pelbagai kelab handalan sekitar Kuching dan Kota Samarahan.
Menurutnya, kejohanan anjuran All Ways Academi itu akan berlangsung selama dua hari iaitu 15 hingga 16 Julai ini bertempat di Padang Sintetik KDFA, Taman Sourabaya, Petra Jaya.
“Format kejohanan secara liga kumpulan, dua pasukan teratas setiap kumpulan layak ke peringkat kalah singkir,” ujar Adzlan kepada Arena Suara Sarawak.
Katanya, hadiah menarik menanti empat pasukan terbaik untuk saingan kali ini.
“Pasukan yang berjaya muncul juara akan menerima hadiah wang tunai RM2,500 beserta piala dan pingat.
“Naib juara pula akan menerima wang tunai RM1,500 termasuk piala dan pingat,” tambah beliau.
Manakala, pasukan yang menduduki tempat ketiga pula akan menerima wang tunai RM1,000 selain piala dan pingat.
Berbanding hadiah wang tunai RM500 dan piala untuk pasukan yang menduduki tempat keempat.

