KUCHING: Gabungan elemen futuristik dan tradisional yang diketengahkan oleh kontinjen Kuching Street Parade 2025 mencuri tumpuan penonton petang tadi.
Dengan semangat ingin merebut kemenangan, para peserta juga teruja untuk memperagakan pakaian dan membuat persembahan semasa perarakan.
Suara Sarawak sempat menemu bual bebebrapa ketua kontinjen untuk berkongsikan pengalaman masing-masing dalam acara yang bertemakan Parade of Lights itu.
Ketua kontinjen Legend of Light – The Glorious 40s, Hartini Adurahman, 44, berkata pasukannya menampilkan tema Rimba Rhythm – gabungan gaya futuristik dengan keindahan semula jadi hutan hujan Sarawak.
“Pakaian kami berkonsepkan futuristik, kami mahu menonjolkan era masa depan, pada masa sama tetap mengekalkan unsur hutan Sarawak,” katanya ketika ditemui semasa menunggu pelepasan di Pusat Komersial Travillion, di sini, hari ini.
Kontinjen mereka terdiri daripada 40 peserta termasuk bekas penari, penggiat seni budaya serta penari cilik.
“Kontinjen kami pertama kali menyertai perarakan ini dengan konsep fururistik dan berharap dapat merebut gelaran juara,” ujarnya.
Sementara itu, Mohd Amirul Rashid Abdullah, 26, mewakili Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak memberitahu kontinjen mereka menekankan usaha memelihara tradisi Melayu dengan mempersembahkan persalinan Gajah Oleng melambangkan identiti Melayu Sarawak.
Katanya, kontinjen itu dianggotai 40 peserta berusia seawal tujuh tahun hingga lingkungan 20-an.
“Kami juga kali pertama menyertai pertandingan perarakan ini dan berharap agar dapat membuat yang terbaik.
“Selain persalinan ini, pasukan kami juga membawa dua meriam dan perahu berhias semasa perarakan nanti,” jelasnya.
Antara yang turut menarik perhatian ialah kontinjen Kejiranan Mesra N8 Satok yang diketuai Abdul Mokhtarin Anuar, 49, dengan tampil mengenakan pakaian lengkap angkasawan.
Jelasnya, persembahan bertema futuristik itu melambangkan angkasawan pertama dari Sarawak serta kapal angkasa buatan Sarawak.
“Pada masa sama, kami turut mempersembahkan replika roket dan projek planet.
“Kumpulan kami terdiri daripada kanak-kanak, orang dewasa serta warga emas dengan kekuatan 33 peserta,” ujarnya.
Acara Kuching Street Parade 2025 berlangsung dengan sangat meriah sekali gus menyaksikan 52 kontinjen terlibat melibatkan hampir 2,000 peserta.
Pelepasan perarakan itu dirasmikan bersama-sama oleh Timbalan Datuk Bandar Kuching Selatan, Datuk Zaiedi Suhaili; Pengarah Dewan Bandaraya Kuching Utara, Ramzi Abdillah; dan Timbalan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Komuniti DBKU Rudzaimier Malek.












