SERIAN: Batalion 11 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuching berjaya menahan seramai 27 warga Indonesia cuba menyelinap masuk di jalan tikus sempadan Sarawak-Kalimantan berhampiran Serian, pada Jumaat dan Sabtu.
Komander Briged Sarawak PGA, Mancha Ata berkata, kesemua pendatang asing tanpa izin (PATI) itu ditangkap menerusi dua hari Op Benteng pada tiga operasi berasingan bermula jam 10.30 pagi sehingga 6.30 pagi pada hari berikutnya.
Katanya, suspek masing-masing berusia lingkungan 30 hingga 40 tahun itu dipercayai cuba menyeludup masuk menerusi modus operandi dengan cara berjalan kaki serta menunggang motosikal beramai-ramai susulan penemuan dua buah motosikal hasil tangkapan kedua operasi.

“Tangkapan pertama pada Jumaat sekitar jam 10.30 pagi melibatkan seorang warga Indonesia, 31,ditemui menyusup masuk secara berjalan kaki di kawasan tanah perkuburan Katolik, Kampung Entubuh, Tebedu.
“Operasi kedua pada jam 4.30 petang berjaya menahan enam lelaki warga Indonesia bersama dua buah motosikal dan satu passport di jalan tikus berhampiran Kampung Tong Nibong.
“Manakala seramai 19 lagi suspek ditahan ketika cuba menyusup masuk secara berjalan kaki melalui jalan tikus di sebuah ladang sawit di daerah Serian sekitar jam 6.30 pagi pada Sabtu,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.
Dedahnya, pemeriksaan awal pasukan operasi turut mendapati kesemua PATI gagal mengemukakan sebarang dokumen sah perjalanan.
Susulan itu, katanya, kesemua suspek bersama dua buah motosikal seterusnya dibawa dan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Serian untuk tindakan lanjut.
Ujarnya, kes disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Anti-Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ANTIPSOM) 2007, seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1953/69, Akta Passport 1966, dan di bawah Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1953/69.
