BINTULU: Seramai 282 peserta dari seluruh Sarawak dan Sabah menyertai Kejohanan Memanah Remaja dan Terbuka Bintulu 2026 yang diadakan selama dua hari(15 -16 Februari) di ruang legar Dewan Suarah Bintulu.
Kejohanan tersebut merupakan pelajar Kursus Kokurikulum Berkredit QKS2108 Memanah Semester 2, 2025/2026 dengan kerjasama Persatuan Memanah Bintulu dan Persatuan Memanah Sarawak.


Sebanyak lima kategori dipertandingkan melibatkan peringkat bawah 12,15 dan 18 selain kategori tradisional dewasa lelaki serta wanita dengan penyertaan kelab dari Kuching hingga Sipitang, Sabah.
Bagi kategori tradisional campuran bawah 18 tahun, Hendrayyan Mikhael Hendra Carlos dari Dsofwah Tanjung Manis muncul johan.
Kategori recurve bawah 15 tahun dimenangi Maia Adra Ali Maruan Ali dari SSC Kuching, manakala Ariel Taylor Andy Newton dari SSC Kuching menjuarai kategori recurve bawah 12 tahun.
Sementara itu, kategori tradisional dewasa lelaki dimenangi Andy Majali dari PMTS (Sipitang), Sabah, manakala kategori tradisional dewasa wanita dimenangi Siti Lubna Dahlan dari GAC.
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Presiden Persatuan Memanah Sarawak, Bujang Ham diiringi fasilitator kursus, Muhammad Thaqif Tong.
Sementara itu, Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) dalam satu kenyataan berkata penganjuran kejohanan berkenaan mencerminkan komitmen universiti dalam memperkasa pembangunan sahsiah dan bakat pelajar menerusi platform kokurikulum berimpak tinggi.
Menurut kenyataan itu, pelibatan pelajar sebagai jawatankuasa pelaksana memberi pendedahan secara langsung dalam aspek pengurusan acara sukan, kepimpinan serta kerja berpasukan, selaras dengan aspirasi universiti untuk melahirkan graduan holistik dan berdaya saing.
UPMS turut merakamkan penghargaan kepada semua rakan strategik, peserta dan jurulatih yang menjayakan kejohanan berkenaan serta berharap program seumpama itu dapat diteruskan pada masa akan datang bagi mencungkil lebih ramai bakat baharu dalam sukan memanah di Sarawak.
Kejohanan berkenaan bukan sahaja menjadi medan persaingan sihat dalam kalangan atlet muda dan dewasa, malah mengukuhkan jaringan kerjasama antara institusi pengajian tinggi dan badan sukan dalam usaha memartabatkan sukan memanah di peringkat negeri dan serantau.

