MATU: Seramai 5,436 ketua isi rumah daripada 42 penempatan sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jemoreng menerima sumbangan daging sebanyak 12,000 kilogram sempena sambutan Hari Raya Aidiladha 1446H, hari ini.
Program agihan daging yang diadakan di perkarangan Masjid Daerah Matu disempurnakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Integriti dan Ombudsman) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng Datuk Dr Juanda Jaya.
“Program sebegini bukan sahaja meraikan Hari Raya Aidiladha dengan penuh pengertian, malah mengukuhkan hubungan silaturahim serta semangat perpaduan dalam kalangan penduduk setempat.
“Kita ingin memastikan bahawa setiap lapisan masyarakat mendapat manfaat daripada program ini.
“Ia bukan sahaja membantu meringankan beban keluarga sempena Aidiladha, malah menjadi platform perpaduan yang memperlihatkan nilai inklusiviti diamalkan di Sarawak,” katanya ketika berucap semasa program tersebut.
Pelbagai kaum termasuk Melanau, Melayu, Cina dan Iban hadir bagi menerima agihan sumbangan tersebut.
Program yang telah menjadi acara tahunan kini memasuki edisi ke-11 penganjurannya sejak ia mula dilaksanakan beberapa tahun lalu.
Dalam pada itu, sebanyak 6,000 ketua isi rumah disasarkan untuk menerima sumbangan kali ini sebagai simbol semangat kebersamaan dan prihatin terhadap kesejahteraan rakyat tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.
Program tersebut turut melibatkan kerjasama pelbagai agensi kerajaan, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), sukarelawan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Jemoreng serta jawatankuasa masjid dalam memastikan kelancaran proses pengagihan daging.
Justeru, dengan sambutan menggalakkan saban tahun, program agihan daging ini dijangka diteruskan pada masa akan datang demi kebajikan dan kesejahteraan rakyat kawasan DUN Jemoreng.


