47 ditahan terlibat dadah di Padawan

PADAWAN: Seramai 47 individu ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah di daerah ini, yang terdiri daripada 45 lelaki dan dua wanita tempatan.

Kesemua mereka ditahan dalam Operasi Bersepadu Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sarawak pada 20 dan 21 Julai lalu, di mana bagi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan melibatkan enam pegawai kanan dan 35 anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan, Deputi Superintendan Merbin Lisa, tangkapan terbesar melibatkan seorang lelaki berusia 22 tahun, hasil dari serbuan yang dijalankan di sebuah rumah lot di kawasan Batu 7, Jalan Penrissen.

Beliau berkata pihaknya merampas 20 biji pil ekstasi seberat 7.15 gram, serbuk ekstasi seberat 100.32 gram, syabu seberat 0.45 gram, sebiji pil erimin 5 seberat 0.46 gram dan serbuk ketamin seberat 1.23 gram, yang dianggarkan bernilai RM11,365.

Beliau menambah turut disita sebuah motosikal bernilai RM6,000 dipercayai hasil kegiatan pengedaran.

“Suspek juga didapati positif dadah jenis syabu dan kini direman selama tujuh hari sehingga 28 Julai,” katanya pada sidang media, hari ini.

Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 39A (1) ADB 1952 dan Seksyen 12(2) ADB 1952.

Selain itu, Merbin berkata seramai sembilan lagi lelaki berumur 21 hingga 45 tahun ditangkap di kawasan Kota Sentosa, Matang dan Siburan dengan jumlah rampasan sebanyak 5.73 gran dengan anggaran nilai RM859.

Katanya semua suspek ditahan reman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 12 (2) 1952.

Manakala, beliau berkata seramai 37 individu ditahan untuk siasatan kerana didapati positif pelbagai jenis dadah seperti syabu, amphetamin dan Tetrahydoconnabinol (THC).

“Sampel urine tersebut akan dihantar ke unit Patologi Hospital Umun Sarawak untuk ujian lanjut dan jika didapati positif, saspek akan dituduh di mahkamah dalam masa terdekat.

“Begitu juga dengan barang kes dadah yang dirampas akan dihantar ke Jabatan Kimia Kuching bagi memastikan ketulenan sebelum kes dibicara di mahkamah,” katanya.

Merbin turut menyeru masyarakat supaya menyalurkan maklumat kepada polis mengenai kegiatan pengedaran dan penyalangunaan dadah di kawasan masing-masing.

Suara Sarawak