KUCHING: Sebanyak 5,790 permohonan untuk diiktiraf sebagai Bumiputera Sarawak telah diterima dan dipertimbangkan oleh Jawatankuasa Pengiktirafan Sebagai Bumiputera Sarawak (JPBS) setakat ini.
Menteri di Jabatan Premier, Datuk Seri John Sikie Tayai berkata, daripada jumlah tersebut sebanyak 5,186 permohonan telah diluluskan.
Katanya sebanyak 1,835 (35 peratus) telah diiktiraf sebagai komuniti Iban, 1,718 (33 peratus) diiktiraf sebagai komuniti Bidayuh, 601 (12 peratus) diiktiraf sebagai komuniti Melayu.
“Manakala 336 (enam peratus) diiktiraf sebagai komuniti Melanau, 199 (empat peratus) diiktiraf sebagai komuniti Murut atau Lun Bawang, 146 (tiga peratus) diiktiraf sebagai komuniti Kenyah, 144 (tiga peratus) diiktiraf sebagai komuniti Kayan, dan selebihnya adalah daripada komuniti lain” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini, hari ini.
Tambahnya, bermula pada 1 Januari lalu semua permohonan untuk diiktiraf sebagai Bumiputera Sarawak dibuat sepenuhnya secara dalam talian iaitu melalui Sistem Pengiktirafan Anak Negeri Sarawak (SARAS).
“Pada 26 Jun lepas, sistem ini telah ditambah baik dengan menambah fungsi semakan kelayakan untuk memastikan hanya permohonan yang memenuhi syarat sahaja akan diproses dan dibawa ke JPBS untuk pertimbangan” ujarnya.
Sementara dalam perkembangan lain, beliau memberitahu kerajaan amat prihatin dan sentiasa mengambil berat kepentingan keselamatan awam serta kesejahteraan rakyat terutamanya dalam mengelakkan sebarang risiko penyalahgunaan senjata api khususnya melibatkan senapang patah.
Sebagai langkah kawalan menurutnya, kerajaan masih mengekalkan polisi semasa berkaitan pemilikan senapang patah, iaitu pemilikan senapang patah hanya boleh ditukar nama daripada ibu bapa kepada anak lelaki atau anak perempuan sahaja. Manakala penggunaan dibenarkan hanya untuk tujuan perlindungan hasil pertanian.
“Bagaimanapun kerajaan sentiasa bersedia untuk menilai semula polisi berkaitan termasuklah syarat dan keperluan Permit Carry And Use (bawa dan guna) selaras dengan tuntutan dan tahap keselamatan semasa” ujarnya.
Beliau memaklumkan, dalam usaha memperkukuhkan tadbir urus pengurusan senapang patah, kerajaan telah mengambil langkah proaktif dengan membangunkan satu sistem pangkalan data berpusat yang dikenali sebagai e-Firearm System.
“Sistem ini merupakan satu transformasi digital penting yang bertujuan mempertingkatkan kecekapan ketelusan dan integriti dalam pengurusan lesen senapang patah di Sarawak.
“Sistem ini bukan sahaja berfungsi sebagai platform penyimpanan dan penyelenggaraan rekod pemegang lesen serta pemegang Permit Carry and Use, tetapi turut digunakan bagi tujuan permohonan pindah daftar lesen senapang patah dan permohonan penukaran nama pemilik senapang patah” jelasnya.
Menjelas lanjut, beliau memberitahu dengan adanya sistem digital in,i proses pengurusan pemantauan dan audit keselamatan dapat dilaksanakan secara lebih sistematik dan efisien.
“e-Firearm System dijangka akan digunakan sepenuhnya mulai tahun hadapan sekali gus menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha pendigitalan perkhidmatan Kerajaan Sarawak” tegasnya.

